Media sosial kecoh dengan isu baju rasmi kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024 yang dikatakan kurang memuaskan. Ramai yang kecewa dengan rekaan baju yang kelihatan terlalu biasa dan tidak menonjol. Lebih mengecewakan, pelancaran baju tersebut dilakukan dengan hanya menggunakan patung.
Di ruangan komen Instagram @olympicmas, ramai netizen memberi pelbagai komen negatif tentang baju tersebut. Ada yang tertanya-tanya di mana corak harimau yang selalu menjadi identiti Malaysia. Ada juga yang membandingkan baju itu dengan baju hari keluarga dan baju jersi keluaran Kieda Crepe yang jauh lebih menarik.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memberitahu bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak terlibat dalam rekaan baju tersebut. Keputusan rekaan dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama pengeluar barangan sukan, Yonex. Walaupun kenyataan ini sedikit sebanyak meredakan keadaan, kritikan terhadap rekaan baju tersebut masih berterusan di media sosial.