Selepas segala usaha dijalankan termasuklah terpaksa mengambil tindakan drastik menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak seminggu lalu, Perdana Menteri hari ini memimpin bacaan doa supaya wabak COVID-19 segera berakhir dan rakyat Malaysia boleh kembali menjalani kehidupan normal semula.
Dalam nada sayu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tenang turut berdoa supaya seluruh rakyat diberi kekuatan untuk menghadapi masa yang mencabar ini manakala semua pesakit COVID-19 diberi kesembuhan segera.
“Al-Fatihah..
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Engkau ampunilah dosa-doa kami
“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami
“Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah
“Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang merbahaya dan wabak yang mengancam nyawa
“Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini
“Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami
“Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami Ya Allah, tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepada-Mu
“Ya Allah Ya Rahman Ya Syaafi,
“Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak Coronavirus walau di mana sahaja mereka berada
“Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya Allah
“Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya Allah
“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah Lindungilah kami
“Selamatkanlah kami Sejahterakanlah hidup kami. Amin,”
Beliau memimpin bacaan doa selepas menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.
Muhyiddin sebelum itu turut meminta semua penganut agama lain untuk sama-sama berdoa mengikut cara agama masing-masing.