Dengan kerja kamera serta suntingan yang mendapat pujian ramai, video terbabit dihasilkan sempena pelancaran koleksi baju Melayu Bulan Bintang Teluk Belanga yang menampilkan Beto sebagai duta.
Sekilas menonton video tersebut, ramai yang membandingkannya dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Namun, pengasas Bulan Bintang sendiri akui idea untuk ambil inspirasi filem Mat Kilau terlintas ketika sedang bergurau bersama rakan.
“Idea asal video ini bermula dengan aku main-main sahaja cakap dengan rakan, “Jom buat video Mat Kilau-inspired untuk launch Bulan Bintang Teluk Belanga”.
“Akhirnya, dah boleh release videonya. Aku harap korang enjoy video ini, as much as I do. Paling suka babak akak promoter tu,” kata Azzim Zahid Azmi. Tweet Azzim itu kini sudah meraih lebih 4,700 likes serta lebih 426,000 tontonan ketika artikel ini ditulis.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan respons positif terhadap video kempen terbabit serta memuji kualiti video berkenaan yang setaraf filem sebenar. Begitu juga ramai yang memuji dedikasi pasukan Bulan Bintang yang tidak memilih marketing murahan untuk melariskan jenama mereka.
Warganet juga sempat berseloroh dan membandingkan kerja kamera video kempen tersebut dengan filem Mat Kilau yang didakwa bergegar.
Malah, ada juga netizen yang memuji cara pemasaran jenama tersebut yang disifatkan sebagai bijak serta berkualiti.
Meninjau di ruangan Instagram pula, Azzim mendedahkan jenama terbabit pernah ‘ditolak’ oleh Beto kerana kekangan bajet empat tahun lalu.
Kini impian mereka untuk bekerjasama dengan pelakon hebat itu menjadi kenyataan, ramai yang terinspirasi dengan kisah yang dikongsikan oleh Azzim.