Selain memberikan kata-kata nasihat di Instagram pelakon tersebut, terdapat sebilangan netizen yang mengecam dan masih mengaitkan Sarah dengan kontroversi pelancaran tudung jenama Naelofar di Zouk, Kuala Lumpur. Kesempatan tersebut diambil warganet untuk mengungkit kembali tindakan Sarah ketika itu dan mendakwa pelakon berdarah kacukan ini membakar tudung-tudung berjenama Naelofar dan lantang mengkritik Neelofa di ruangan IG Live.
Sarah bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut dan meminta warganet menghentikan fitnah terhadapnya.
“Hanya dua perkara saya nak jelaskan tentang isu Zouk. Yang pertama, saya tidak bercakap tentangnya di ruangan IG Live dan yang kedua, saya tidak membakar hijab-hijab tersebut.
“Jangan memfitnah, terima kasih”
– Sarah Hildebrand
Selain itu Sarah turut memohon agar nama suaminya Otto Gillen tidak dikaitkan dengan keputusannya membuka tudung.
“Satu lagi, tolong berhenti menyalahkan Otto Gillen, itu juga fitnah!,”
– Sarah Hildebrand menerusi ruangan IG Stories semalam (Sabtu).
Dalam pada itu di ruangan komen IG Stories, Sarah turut berkongsi kata-kata positif dan semangat daripada para peminat yang turut mendoakan dirinya.
Tiga hari lalu, ramai yang terkejut apabila pelakon dan pengacara Sarah Hildebrand atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand binti Asyraf Hildebrand berkongsi sekeping gambar dirinya dan suami tanpa mengenakan hijab di IG.
Sarah yang mula bertudung sepenuhnya sejak penghujung tahun 2015 lalu itu juga, seolah-olah mahu peminat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.