Mendapat tempat kerja yang menitikberatkan kebajikan para pekerja adalah impian setiap orang di luar sana. Bukan itu sahaja, ramai juga yang mementingkan penerapan ‘work life balance’ di mana individu tidak diganggu di luar waktu bekerja.
Pun begitu, tidak semua berpeluang bekerja di syarikat sebegitu. Ada yang sampai ‘dikerah’ oleh majikan untuk bekerja sehingga lewat malam dan pada hujung minggu. Kesan sampingan perkara tersebut adalah individu akan berasa stres sehingga boleh menyebabkan tekanan mental akibat kepenatan dari segi fizikal dan mental yang melampau.
Individu Rasa Letih Melampau Sehingga Nangis Di Tandas
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman X (Twitter @faridaffy), apabila seorang lelaki dikenali sebagai Farid berkongsi kisah pekerja yang berasa letih dengan pekerjaan mereka. Kadangkala, tahap kepenatan itu adalah sangat melampau sehinggakan mereka menyendiri dan pergi ke tandas semata-mata untuk menangis.
Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan pekerjaan kerana tanggungjawab yang dipikul bagi menyara kos sara hidup. Bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk ahli keluarga di rumah. “Ramai orang berada di fasa burnout tetapi demi kelangsungan hidup yang berat, kena juga teruskan berjalan,” kata Farid.
Tanda-tanda Anda Sedang Burnout
Sebenarnya banyak tanda-tanda lain yang boleh diperhatikan sekiranya seseorang itu berasa burnout. Antaranya:
- Rasa letih sepanjang masa: Individu yang mengalami burnout sering merasa keletihan yang melampau walaupun setelah tidur atau berehat. Mereka mungkin merasa tidak bertenaga dan sukar untuk memulakan hari.
- Kesihatan diri mula merosot: Burnout boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan fizikal seperti sakit kepala, sakit perut, dan masalah tidur. Individu juga mungkin lebih mudah jatuh sakit.
- Sukar mengawal perasaan: Mereka yang mengalami burnout mungkin merasa sukar untuk mengawal emosi mereka, sering merasa cemas, sedih, atau marah tanpa sebab yang jelas.
- Lebih sensitif daripada kebiasaannya: Burnout boleh membuatkan seseorang lebih sensitif terhadap kritikan atau tekanan, menyebabkan mereka mudah tersinggung atau berasa tertekan.
- Mudah marah: Seseorang yang mengalami burnout mungkin menjadi lebih cepat marah atau frustrasi dengan perkara-perkara kecil yang biasanya tidak mengganggu mereka.
- Kurang fokus terhadap tugasan: Burnout boleh menyebabkan seseorang sukar untuk fokus atau memberi perhatian kepada tugasan mereka, mengakibatkan penurunan produktiviti.
- Kerap menangguh kerja: Mereka mungkin sering menangguhkan tugasan kerana merasa terlalu letih atau tidak bersemangat untuk menyelesaikannya.
- Mengabaikan penjagaan diri: Individu yang mengalami burnout mungkin mengabaikan penjagaan diri seperti waktu makan yang tidak teratur, kurang bersenam, atau menggunakan alkohol sebagai cara untuk mengatasi stres.
Netizen Luah Rasa Burnout Melampau
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan keletihan yang dilalui oleh mereka sepanjang bekerja. “Tahun lepas paling teruk, tengah duduk mandi tiba-tiba menangis sebab dah tak tahan. Tak tahulah tak tahan apa. Satu jam juga duduk bawah shower tu. Alhamdulillah sekarang ni okay sikit walaupun rasa macam penat, tetapi hidup perlu diteruskan,” ujar seorang pengguna X.
Rasa letih itu juga bukan sahaja dirasai oleh para pekerja, malah pelajar juga berasa letih dengan pembelajaran mereka. “Teringat semester dua paling sakit dia punya stres tu. Allah je yang tahu dengan kumpulan tugasan macam tu. Habis pembentangan je terus nangis dekat tandas,” jelas seorang warganet.
Dalam pada itu, ramai juga dilihat memberikan tips sekiranya seseorang itu berasa burnout dengan sesuatu perkara. “Mentor saya pesan kalau kita berada di situasi yang tidak relaks, cuba tarik nafas sebanyak yang mungkin sampai kita rasa lebih tenang. Baca al-Fatihah sekali, selawat tujuh kali, tarik nafas lagi sampai la kita okay,” kata seorang lelaki. Walaupun ramai meluahkan terpaksa menghadap stres di tempat kerja, namun kebanyakan daripada mereka tetap meneruskan tugasan seperti biasa.
Apa Perlu Buat Jika Sedang Burnout?
Buat mereka yang sedang berdepan dengan masalah ini, usah risau. Terdapat lapan perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan rasa keletihan dialami menurut perkongsian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antaranya:
- Ambil masa untuk rehat seketika, termasuk mengambil cuti: Mengambil cuti atau berehat seketika dapat membantu mengurangkan tekanan dan memberi peluang kepada diri untuk pulih.
- Bercakap dengan seseorang yang dipercayai tentang keadaan diri anda: Berbincang dengan rakan atau ahli keluarga yang dipercayai boleh memberikan sokongan emosi dan perspektif baru mengenai masalah yang dihadapi.
- Uruskan emosi dengan positif dengan melakukan perkara yang dapat membantu emosi: Melibatkan diri dalam aktiviti yang anda nikmati atau yang menenangkan boleh membantu menguruskan emosi dengan lebih baik.
- Berikan kata-kata positif kepada diri sendiri seperti memuji kerana berjaya menyiapkan tugasan:Memberikan pujian kepada diri sendiri dapat meningkatkan semangat dan motivasi.
- Amalkan pengambilan makanan berkhasiat: Pemakanan yang baik adalah penting untuk kesihatan fizikal dan mental. Pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat.
- Lakukan teknik untuk menenangkan diri seperti latihan pernafasan secara teratur: Latihan pernafasan dan teknik relaksasi lain boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan ketenangan.
- Minta bantuan profesional seperti kaunselor jika gejala dialami menjejas kualiti hidup: Jika gejala burnout sangat teruk, mendapatkan bantuan daripada profesional seperti kaunselor atau psikolog adalah penting.
- Tanamkan rasa puas hati terhadap segala pencapaian dalam tugasan, walaupun yang kecil: Menghargai pencapaian kecil dapat membantu meningkatkan rasa kepuasan dan mengurangkan tekanan.
Dengan langkah-langkah ini, diharapkan mereka yang mengalami burnout dapat mencari jalan untuk mengatasi keletihan dan tekanan yang dihadapi, seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka.