Penantian peminat siri animasi popular tanah air, Ejen Ali, akhirnya terubat apabila treler rasmi pertama untuk filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) telah dilancarkan pada 25 Mac lalu tepat jam 3 petang, dan terus mencetuskan fenomena luar biasa di media sosial. Dalam tempoh kurang 24 jam sahaja, treler berdurasi 1 minit 23 saat ini telah berjaya mencatatkan lebih 300 ribu tontonan di YouTube dan 1.3 juta tontonan di TikTok. Hebat betul penangan Ejen Ali kali ini!
Ancaman Misteri Neonimus Cetuskan Kecemasan Di Cyberaya
Melalui treler ini, peminat dapat melihat cabaran baharu yang dihadapi oleh watak utama, Ali. Kali ini, Ali perlu segera menguasai sut SATRIA demi menghadapi ancaman daripada seorang penggodam misteri bernama Neonimus. Neonimus ini bukan calang-calang lawan kerana kemahirannya mampu mencetuskan kekacauan besar di Cyberaya. Treler ini turut menunjukkan bagaimana hubungan Ali dan Alicia diuji apabila Alicia kini mempunyai peranan baru sebagai pemakai IRIS.
Menariknya, bukan setakat Neonimus sahaja yang menjadi tumpuan utama dalam sekuel kali ini, tetapi gandingan mengejutkan antara bekas ejen MATA, Rizwan, bersama dua penjahat terkenal, Dos dan Trez juga bakal menghangatkan suasana. Kemunculan trio ini menimbulkan pelbagai spekulasi menarik—adakah mereka sebenarnya mahu membantu Ali, atau ada agenda tersembunyi di sebalik kerjasama ini?
Barisan Ejen Baharu & Misi Lebih Mencabar!
Bagi mengukuhkan pertahanan Cyberaya, agensi rahsia MATA memperkenalkan barisan Ketua Teras baharu iaitu Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), disokong oleh pemimpin berpengalaman seperti Ejen Dayang (Tekno) dan Ejen Ganz (Kombat). Perubahan besar dalam kepimpinan ini secara tidak langsung membuka peluang untuk Neonimus mengambil kesempatan menyerang kota futuristik ini.
Filem ini jelas menjanjikan aksi berintensiti tinggi, lengkap dengan elemen futuristik teknologi canggih MATA, di samping membawa penonton menghayati perjalanan emosi dan transformasi Ali daripada seorang ejen muda kepada pahlawan sebenar Cyberaya.
Gabungan Muzik Ikonik M. Nasir Tambah Aura Epik Treler
Bukan sekadar visual yang memukau, muzik latar treler ini juga menjadi bualan ramai. Lagu tema rasmi filem ini berjudul “Hanya Kamu”, yang dinyanyikan oleh legenda muzik Malaysia, Dato’ M. Nasir, berjaya menambah aura epik yang membangkitkan semangat dan perasaan penonton. Liriknya yang mendalam seakan-akan memberi bayangan tentang perjuangan getir Ali dalam membuktikan keupayaannya sebagai pemakai SATRIA.
Reaksi Hebat Peminat Di Seluruh Rantau
Fenomena treler ini bukan sahaja dirasai peminat tempatan malah turut mendapat sambutan hangat di negara jiran seperti Indonesia. Ruangan komen di media sosial dipenuhi dengan pelbagai luahan keterujaan, antaranya: “Bila nak keluar di Indonesia?” dan “Tak sabar nak tengok Ali dan Cyberaya di layar besar!”. Ini jelas membuktikan pengaruh besar Ejen Ali yang berjaya mencuri perhatian peminat serantau.
Komen Pengarah, Usamah Zaid Yasin
Pengarah filem ini, Usamah Zaid Yasin, turut berkongsi rasa teruja beliau terhadap penerimaan peminat. Menurut beliau, “Sejak kami mula berkongsi tentang perkembangan EATM2 tahun lepas, kami menerima banyak teori dan spekulasi dari peminat tentang identiti sebenar Neonimus. Diharapkan naskah ini mampu memberi kepuasan tinggi buat peminat tegar Ejen Ali dan kami pastinya akan membawa lebih banyak kejutan, humor, dan momen menyentuh hati dalam evolusi Ali kepada versi terbaik dirinya dalam EATM2.”
Apa Kata Budiey?
Budiey berpendapat bahawa Ejen Ali The Movie 2 berpotensi menjadi satu lagi pencapaian besar dalam sejarah animasi Malaysia, terutamanya dengan jalan cerita yang lebih mendalam dan elemen emosi yang semakin matang. Langkah bijak menampilkan muzik daripada Dato’ M. Nasir pula berjaya menarik perhatian lebih ramai penonton daripada pelbagai generasi. Budiey turut mencadangkan agar pihak produksi mempertimbangkan siri spin-off khas tentang watak-watak sokongan yang kuat seperti Rizwan dan Alicia supaya kisah dunia Ejen Ali ini lebih meluas dan terus berkembang di masa hadapan.