PEMBABITAN pengacara popular, Neelofa dalam video lirik lagu Damba Cinta-Mu nyanyian Alif Satar bersama Raihan adalah secara percuma. Alif, 30, berkata, dia bertuah dan berbesar hati apabila bekas pengacara MeleTop itu sudi bekerjama dengan buah tangan pertama syarikatnya, ASET Records Sdn Bhd.
“Dia buat secara percuma. Saya pun tak tahu macam mana Lofa boleh setuju. Saya sangat berbesar hati dan gembira. Semasa menawarkan tugas itu, saya tanya berapa bayaran tapi dia cakap tak perlu. Buat dan rakam saja.
“Saya terus macam, tak tahu lah. Lofa bagi produk susu, tudung kepada isteri dan ini buat video lirik secara percuma pula. Lofa memang memberikan komitmen sepenuhnya. Apa saya minta dia buat saja tanpa bertanya apa-apa. Saya sangat bertuah dia terbabit dalam projek ini,”
– Alif Satar
Alif juga pernah berganding dengan Neelofa dalam drama bersiri popular, Red Velvet pada 2017.
Terdahulu, Alif yang juga pelakon Dia Semanis Honey muncul pada sesi siaran langsung #dirumahjer di Instagram @myhmrap, semalam.
Babak Neelofa dalam video lirik lagu Damba Cinta-Mu nyanyian Alif Satar dan Raihan
Pada sesi yang mencecah lebih 12,000 tontonan itu, Alif berkata, idea bekerjasama itu timbul selepas melihat gambar Lofa yang tular sedang berdoa di Arafah ketika menunaikan Haji.
“Asalnya saya dan Raihan ada benda nak buat membabitkan kami. Namun, apabila fikir balik, saya cakap ada idea nak bekerjasama Lofa. Kalau imbas semula tahun lalu semasa Lofa buat Haji, ada gambar dia berdoa menangis di Arafah di tengah hujan.
“Saya terus menghubungi Lofa dan beritahu mengenai projek ini. Dia tanya kena buat apa, saya jawab menangis saja. Dia gelak dan cakap okay. Mungkin orang tak tahu, Lofa ini ada potensi menjadi pelakon ‘method’. Saya tahu kemampuan dia boleh menangis dan sedih. Jadi, dalam video ini saya nak dia menangis.
“Dia datang studio awal tahun. Sebelumnya dia tanya nak mekap macam mana. Saya cakap tak nak, hanya bawa telekung hitam saja. Rakaman tidak sampai setengah jam pun. Kalau ikutkan saya dan Raihan patut ada juga dalam video, tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini, akhirnya Lofa seorang saja. Tapi pasukan saya buat suntingan dengan satu cara dan stail video lain iaitu MV lirik bersama Lofa,”
– Alif Satar
Menerusi video lirik yang dilancarkan semalam itu memaparkan model wanita yang menampilkan Neelofa menangis ketika berdoa dalam persalinan telekung hitam.
Dalam tempoh 24 jam, video itu sudah mencecah hampir 300,000 tontonan.
Lagu Damba CintaMu adalah nyanyian asal kumpulan Raihan yang dirakam pada 1997 menerusi album Syukur.
Sumber: Harian Metro