Menurut Neelofa semasa beliau menjadi tetamu di radio Era, beliau mahu menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengembangkan nama dan juga produk bagi menembusi Indonesia pada tahun 2020.
Neelofa akui terkejut tatkala diajukan pertanyaan mengenai spekulasi bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun 2020.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor,30 dia menafikan akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan seperti yang diperkatakan peminat malah turut tertanya akan sumber berita tersebut.
Biarpun begitu, jelas Neelofa dia akui sememangnya tahun 2020 akan adanya majlis perkahwinan di sebelah keluarga namun ianya merupakan majlis perkahwinan adik lelaki dan beberapa orang sepupu terdekatnya.
“Mana ada saya bertunang atau berkahwin pada tahun hadapan. Macam mana isu ini boleh timbul? Sejujurnya tiada apa-apa perbincangan membabitkan ahli keluarga mengenai ke arah itu. Cuma apa boleh saya kongsikan adik lelaki dan sepupu sebaya yang bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan”
Tidak Akan Berahsia
Tidak menolak faktor umurnya mencecah 30-an antara punca mengapa spekulasi tersebut hangat diperkatakan, Neelofa berkata dia sama sekali tidak akan merahsiakan mengenai siapakah yang bertakhta dihatinya seandainya bakal berkahwin kelak.
“Mungkin sebab umur saya sudah mencecah 30 tahun menyebabkan ramai yang buat spekulasi. Tiada sebab untuk saya berahsia mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada seseorang yang bertakhta di hati, saya akan kongsikan. Ini bukan zaman dulu nak sorok-sorok. Andai bakal melangkah ke fasa baharu saya akan kongsikan kepada khalayak ramai”
Neelofa ditemui Murai.my di majlis pelancaran koleksi kasut kolaborasi bersama jenama antarabangsa Giuseppe Zanotti di Pavilion, Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Sebagai info, pengacara MeleTOP itu merupakan selebriti pertama di Malaysia dan kedua di Asia yang dipilih jenama antarabangsa itu yang mempunyai koleksi kasut khas buat para penggemar fesyen.
Sumber: Murai