in ,

Neelofa Lancar Butik Konsep Pertama di One Utama

Kejayaan pengacara dan usahawan, Neelofa Mohd Noor, 31, mengusahakan jenama tudung miliknya, Naelofar mencipta satu lagi penanda aras apabila kini tampil dengan butik konsep pertama di pusat beli belah One Utama, Petaling Jaya.

Usahawan terkemuka tanah air, Neelofa mengorak langkah lebih jauh dengan membuka sebuah lagi butik Naelofar di pusat beli belah, One Utama. Dilancarkan baru-baru ini, Neelofa berkata pembukaan butik konsep itu juga bagi meraikan ulang tahun keenam Naelofar sejak ia mula ditubuhkan pada 2014.

Mengambil konsep feminiti, butik Naelofar itu dilatari warna merah jambu yang dihiasi dengan pelbagai jenis koleksi tudung serta pakaian sopan bagi menepati sasaran pelanggan jenama itu.

“Pembukaan butik konsep ini selaras dengan misi kami untuk meraikan ulang tahun keenam Naelofar. Selain pelancaran butik, dalam majlis ini kami turut memperkenalkan koleksi hijab terbaharu, Lalia yang didatangkan dalam empat warna menarik iaitu hitam, biru, krim dan maroon. Selain tudung, butik ini juga menjual inner, baju serta seluar yang berpotongan sopan dan longgar.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya dan hari ini saya memiliki team terbaik yang membantu menjalankan serta membangunkan jenama Naelofar,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran butik konsep Naelofar di One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Walaupun dunia sedang diuji dengan pandemik Covid-19, Neelofa berkata dia percaya dengan pembukaan butik itu pada masa sekarang adalah satu keputusan yang tepat untuk perniagaannya.

“Mungkin bagi usahawan lain sekarang bukan waktu terbaik untuk tampil dengan idea seperti ini namun tidak bagi kami.

“Peluang ini kami ambil dengan sebaiknya untuk menggerakkan pelan ini bersama-sama pasukan baharu yang lebih dinamik,” ujarnya lagi.

Naelofar merupakan perniagaan yang diusahakan Neelofa bersama kakaknya, Nabila selaku Pengarah Urusan dan adik lelakinya, Aqief sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi jenama itu.

*Sumber: KopiPlanet.com

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kongsi Foto Bercumbu, Hunny Madu Akhirnya Dedah Sudah Berkahwin dengan Jejaka Itali

Yang Anda Perlu Tahu Tentang HUAWEI Watch GT 2 Pro