Neelofa memohon orang ramai berdoa agar anak sepupu berusia tujuh bulan yang disahkan positif COVID-19, segera sembuh.
Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, ujian yang menimpa sepupunya, bukan mudah.
“Saya harap sepupu saya kuat daripada segi mental dan emosi untuk berhadapan ujian ini. Bukan mudah untuk duduk berasingan dengan bayinya itu dan seorang lagi anaknya.
“Sudah tentu dia risau mengenai anak-anak. Tiada apa yang kita boleh buat selain berdoa.
“Berdoalah agar bayi ini sihat. Saya harap semua ini akan berakhir, tidak lama lagi,”
– Neelofa
Neelofa berkongsi berita mengenai bayi itu di Instagram (IG) Story, pagi tadi.
Pengacara dan pelakon itu berkata, bayi berkenaan dipercayai dijangkiti virus terbabit daripada ahli keluarga suami sepupunya yang pulang dari luar negara.
“Sepupu saya menetap di Brunei bersama keluarga suami. Salah seorang ahli keluarga baru pulang dari luar negara. Mengikut cerita, dalam pesawat, ada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikatakan positif COVID-19.
“Apabila pulang ke rumah, virus itu dikatakan berjangkit pada bayi ini. Namun, ujian terhadap ahli keluarga yang lain semuanya menunjukkan keputusan negatif termasuk sepupu saya,”
– Neelofa
Berikutan itu, tambah Neelofa, sepupunya perlu diasingkan dengan anak-anak serta suami selama dua minggu.
“Doktor beritahu potensi sepupu saya dijangkiti virus itu sangat tinggi. Ini kerana dia bersama dengan anaknya setiap masa,”
– Neelofa
Sepupu Neelofa mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun.
Melalui perkongsian di IG, Neelofa tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu seperti sepupunya menerima berita mengejutkan itu.
Neelofa turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi saranan kerajaan dengan duduk di rumah dan menjaga diri.
Sumber: BH Online