PERNAH mendapat perhatian menerusi lagu Kau Yang Satu ciptaan Asfan Shah pada tahun 2015. Nama Nazmi Irfan bukanlah asing dalam industri nyanyian. Memilih untuk mengubah haluan sepanjang lima tahun lepas, siapa sangka dia kini kembali ke dunia nyanyian. Akui dengan cabaran berbeza yang mungkin akan dihadapinya kali ini, Nazmi tidak gentar.
Hadir dengan lagu Asmara Cinta ciptaan Nur Rasa & Sheikh Qalam (lagu dan lirik), lelaki ini yakin dengan pertaruhan kali ini. Kata Nazmi dia yakin, lagu berentak pop ballad ini cukup kena dengan telinga pendengar.
“Lima tahun menghilang membuatkan hati saya pedih. Disebabkan ini saya buat keputusan untuk kembali ke dalam bidang nyanyian.
“Saya juga akui sangat rindu dengan bidang yang sudah saya tinggalkan selama lima tahun. Jadi kali ini saya pertaruhkan lagu Asmara Cinta yang saya yakin menepati citarasa pendengar,”
– Nazmi Irfan
Sementara itu menjelaskan “kehilanganya” dalam bidang nyanyian. kata Nazmi apa yang penting peluang untuk dia kembali menyanyi kini terbuka walaupun terpaksa membahagikan masa dengan kerjaya terkini sebagai pekerja di sector swasta.
“Saya perlu membahagikan masa agar tidak menjejaskan pekerjaan. Menariknya semua pihak memberikan sokongan penuh saat saya menyatakan hasrat untuk kembali menyanyi. Semangat ini yang saya perlukan.
“Kalau sudah minat, mana boleh ditinggalkan bidang nyanyian. Ini juga yang saya rasakan saat ‘hilang’ beberapa tahun daripada industri seni. Tidak tergambar dengan kata-kata bila akhirnya masih berpeluang untuk kembali ke gelanggang seni.
“Saya berharap lagu ini akan diterima ramai dan mengembalikan semula nama saya ke dalam industri,”
– Nazmi Irfan
Mengambil masa tiga bulan untuk menelaah melodi dan lirik Asmara Cinta, kata Nazmi dia tidak mahu tergopoh-gapah memandangkan perlu membuat pelbagai persediaan mental dan fizikal sebelum sesi rakaman.
Asmara Cinta sudah berada di semua platform digital termasuklah Apple Music, Spotify, Joox, Deezer dan beberapa platform lagi. Lagu ini juga boleh didengari melalui saluran YouTube Sheikh Qalam Records.