KERUNTUHAN mahligai bahagia pasangan pelakon Nazim Othman dan Bella Dally turut mengudang rasa sedih dan simpati daripada para peminat mereka.
Setelah khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa pasangan ini sudah bermasalah sejak beberapa bulan lalu, akhirnya perkahwinan yang baru berusia hampir dua tahun itu terlerai jua apabila kedua-dua sebulat hati setuju untuk membawa haluan masing-masing.
Nazim, 33, mengakui dia telah menceraikan Bella atau nama penuhnya Nabila Ali Dally di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Sabah, pada 2 Mei lalu.
Bagaimanapun, punca perceraian mereka tidak didedahkan kepada umum dan kedua-duanya memilih untuk mengunci rapat mulut mereka.
“Saya hanya mahu meneruskan hidup, tiada apa-apa yang boleh dikongsikan. Cukuplah luahan hati yang dibuat di laman Instagram. Saya rasa itulah yang terbaik buat masa ini.
“Bukan saya tidak mahu menjawab persoalan demi persoalan, tetapi hati saya rapuh dan belum bersedia. Tunggulah saya mendapat ketenangan jiwa terlebih dulu.
“Apabila hati dan jiwa sudah tenang, mungkin saya diberikan kekuatan untuk berkongsi cerita. Saya membuat kenyataan di laman sosial hanya untuk memberitahu status kami, bukan menyebarkan cerita rumah tangga,” kata Nazim dalam laporan BH Online, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon Lara Aishah ini turut memohon agar masyarakat tudak terus-menerus mencetuaskan spekulasi liar mengenai perceraiannya.
“Salah dan silap, biarlah kami simpan dalam lubuk hati yang paling dalam. Kami mempunyai keluarga, yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.
“Saya berterima kasih atas doa yang baik-baik sehingga hari ini. Saya dan bekas isteri tidak mahu ambil kisah dengan persepsi netizen. Apa yang penting, kami mahu hidup dengan tenang,” katanya lagi.
Akui Nazim, biarpun hatinya terluka dengan perpisahan ini, namun dia reda menerima ketentuan Tuhan.
“Saya dan bekas isteri reda. Jika tidak reda, keadaan tentunya menjadi semakin kusut.
“Sekarang, kami ambil masa bertenang bersama keluarga. Antara kami juga, tiada dendam yang tersemat.
“Doa saya, Bella hidup lebih gembira dan dapat mengejar cita-citanya. Mungkin saya tidak lagi berada di sisinya, tetapi saya tetap memerhatikannya dari jauh,” katanya.
Nazim dan Bella telah mengumumkan perkahwinan yang dibina pada 10 September 2016 lalu sudah berakhir melalui akaun Instagram masing-masing pada 17 Mei lalu.
Sumber: Berita Harian