Memuliakan anak yatim piatu apatahlagi di bulan Ramadan yang penuh barakah ini pastinya dijanjikan dengan pahala yang berlipat kali ganda. Caranya mungkin dengan menghulurkan bantuan ke rumah anak-anak yatim atau pun menghantar sendiri sumbangan kepada golongan yang memerlukan tersebut.
Cabaran Tunaikan Nazar Dalam Drama Bersiri “Nazar Cinta Ramadan” Lakonan Raja Afiq, Niena Baharun di TV2
Namun berbeza dengan seorang pemuda bernama Fendy yang bernazar mahu mengambil anak angkat dan menggalas tanggungjawab menjaga mereka seperti anak sendiri. Segalanya dilakukan semata-mata dengan niat supaya dapat rezekinya bertambah. Bermula dengan rasa serba salah mahu memenuhi nazar tersebut sehinggalah membawa kepada cabaran yang terpaksa dilalui berdepan dengan kerenah anak-anak tersebut yang adakalanya membuatkan dirinya hilang sabar.
Kisah ini melatari drama bersiri khas Ramadan bertajuk “Nazar Cinta Ramadan” yang menemui penonton mulai 29 Mei ini, setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2.00 petang menerusi TV2.
Menampilkan gandingan Raja Afiq dan Niena Baharun, di samping pelakon kanak-kanak Fazli Daniel Ali, Carl Eqmal Hazali dan Qistina Raishah, 13 episod arahan Zek Zukry ini berkisar tentang Fendy yang sedang rungsing kerana cubaan syarikatnya untuk mendapatkan kontrak bagi menguruskan resort dan hotel berkali-kali tidak lulus. Puas mencuba berbagai cara tetapi tidak berhasil. Kawan baiknya Nazaruddin mencadangkan agar Fendy bernazar untuk melakukan kebajikan sekiranya berjaya mendapatkan kontrak baru.
Fendy terbaca mengenai kes kemalangan maut sepasang suami isteri yang meninggalkan tiga orang anak yang kini yatim piatu. Secara spontan dia melafazkan nazar untuk memelihara tiga orang kanak-kanak tersebut sekiranya permohonan lanjutan kontrak pengurusan resort dan hotelnya diluluskan.
Tidak lama selepas itu Hotel Damai menyambung kontrak syarikat Fendy dan dia juga ditawarkan kontrak menguruskan sebuah resort dan hotel di Seremban. Nazaruddin mengingatkan Fendy tentang nazar yang wajib ditunaikan. Fendy kini berbelah bahagi kerana ketika melafazkan nazar tersebut dia sebenarnya tidak berungguh-sungguh.
Sementara itu, anak-anak yatim tersebut kini dijaga oleh Salbiah, adik arwah bapanya. Salbiah amat menyayangi anak-anak buahnya Syafiq, Syahrul dan Sarah. Namun begitu kehadiran anak-anak yatim ini tidak disukai oleh suaminya, Osman. Osman menganggap kehadiran mereka adalah satu bebanan, tambahan pula mereka sudah mempunyai empat orang anak yang masih kecil. Osman merupakan seorang pengganggur dan mempunyai tabiat berjudi. Mereka sering disuruh melakukan berbagai kerja rumah oleh Osman tanpa pengetahuan Salbiah yang bekerja kilang.
Seminggu sebelum Ramadan, Fendy berjaya menjejaki kanak-kanak tersebut dan menyatakan hasratnya untuk menjaga mereka. Salbiah agak keberatan tetapi Osman mengambil kesempatan tersebut dengan membuat fitnah hingga akhirnya Salbiah setuju. Osman juga meminta sejumlah wang dan Fendy yang terdesak menunaikan nazarnya menyerahkan wang lima ribu tanpa pengetahuan Salbiah.
Situasi di rumah Fendy berubah semenjak kehadiran tiga orang kanak-kanak tersebut. Mereka yang telah dididik dengan pengetahuan agama oleh arwah ibu dan bapa mereka tidak pernah lupa mendirikan solat apabila tiba waktunya. Namun begitu Syafiq yang tidak begitu suka tinggal dengan Fendy sering menimbulkan masalah di rumah tersebut. Fendy tidak pernah peduli dengan perasaan ketiga-tiga mereka kerana apa yang penting dia telah menunaikan nazarnya menjaga mereka.
Bulan Ramadan tiba dan Ramadan kali ini amat berbeza buat Fendy dan tiga beradik tersebut. Pelbagai ragam dan peristiwa berlaku di rumah yang kadangkala menyebabkan Fendy hilang sabar. Fendy yang biasa hidup sendiri merasa terbeban untuk melayan kerenah tiga beradik tersebut. Dia terpaksa menyediakan hidangan berbuka dan sahur untuk mereka, sedangkan selama ini dia jarang berbuka di rumah dan bangun bersahur. Sebenarnya selama ini Fendy jarang berpuasa. Berbagai insiden lucu terjadi.
Nadia, jiran Fendy yang juga menaruh hati kepadanya sering melayan anak-anak angkat Fendy. Melihatkan kemesraan Nadia terhadap mereka, membuatkan Fendy tertarik hati. Nadia yang merupakan guru di sekolah Syahrul dan Sarah sering membantu menguruskan keperluan tiga beradik ini sepanjang bulan Ramadhan. Sarah menjadi orang hubungan untuk Fendy dan Nadia menyatakan perasaan masing-masing.
Kehadiran anak-anak angkatnya menyedarkan Fendy tentang kewajipannya sebagai seorang muslim dan tanggungjawab kepada anak-anak yatim yang dijaganya. Fendy perlahan-lahan berubah menjadi seorang lelaki dan bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak jagaannya. Dia juga lebih mendalami agama dengan pengaruh anak-anak tersebut serta bimbingan Nadia.
Perhubungan diantara Syafiq, Syahrul dan Sarah dengan Fendy semakin baik dan mesra. Syafiq juga telah berubah dan amat menyayangi Fendy. Namun keharmonian ini terganggu kerana kemunculan Qaseh, bekas kekasih Fendi. Beberapa hari sebelum bulan Syawal, Fendy mendapat tawaran kontrak untuk menguruskan sebuah resort di Indonesia. Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi membuatkan hati Fendy berbelah bagi untuk meninggalkan anak-anak angkatnya. Lalu apakah keputusannya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.