Selaras dengan misi RTM sendiri iaitu membina masyarakat bermaklumat melalui perkhidmatan TV, radio dan media digital bagi membangunkan kandungan yang berkualiti, kreatif dan inovatif.
RTM yakin melalui program “Seni Untuk Semua” yang sedang bersiaran setiap Ahad, pukul 4.30 petang di TV1 dapat memberi input yang positif kepada penonton.
Program “Seni Untuk Semua” memaparkan 16 buah episod yang berdurasi 30 minit dan diacarakan oleh Nazrudin Habibur Rahman, atau lebih dikenali sebagai Abang Naz. Program ini bakal membawa penonton melalui pelbagai peringkat penghasilan karya langkah demi langkah dengan cara yang sangat menyeronokkan untuk menghasilkan karya seni.
Program yang bakal menampilkan penggiat seni dari sektor-sektor seni yang berbeza ini diharapkan dapat menyemarakkan minat serta meningkatkan kemahiran dalam bidang seni dalam kalangan masyarakat.
Bagi dalam talian pula, rancangan ini akan menyajikan 50 buah video tutorial seni hasil kurasi 50 orang artis tanah air yang berlainan daripada Seni Untuk Semua di televisyen. Setiap video tutorial berdurasi 15 minit ini menampilkan langkah demi langkah pembuatan hasil seni oleh artis tersebut. Video tutorial ini merangkumi pelbagai cabang seni seperti seni persembahan, seni visual, muzik dan kraf.
Antara artis dan aktiviti seni yang ditampilkan dalam program ini adalah Fusion Wayang Kulit yang dikendalikan oleh Pak Dain dan Tintoy Chuo yang memberi peluang menonjolkan suatu seni yang sangat dekat kepada semua. Bengkel wayang kulit ini memberi peluang untuk menyalur ilmu tradisi ini, kepada anak muda, suatu kesinambungan yang sangat berharga. Ini adalah satu kelainan yang membuat orang ramai teruja.
Episod menampilkan Helena Foo daripada Siapa Theare berkongsi aspirasi daripada rancangan yang menggunakan boneka seperti Sesame Street dan The Muppets. Ia membawakan warna dan gerakan boneka-boneka ini dalan Seni Untuk Semua.
Selain seni kraf, persembahan dan seni visual, seni muzik juga antara aspek yang turut dipertontonkan dalam Seni Untuk Semua ini. Ahmad Haziq Ramli yang merupakan pemain dan pengajar dram merasakan pembelajaran muzik itu boleh dilakukan dimana-mana, “Jika dahulu kita mempelajari muzik di sekolah melalui subjek muzik atau di sekolah muzik, kini kita dapat mempelajari muzik dimana-mana sahaja seperti di internet melalui telefon dan platform digital. Dengan adanya pendedahan sebegini, diharapkan lebih ramai anak muda yang cenderung untuk lebih mendekati bidang ini.”
Ikuti banyak lagi episod dan perkongsian menarik bersama tetamu undangan berbeza di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.