Kemeriahan di pagi Deepavali, hari Isnin, 27 Oktober 2008 dimulai dengan program Malaysia Hari Ini pada jam 6.30pagi yang akan dikendalikan oleh Mazidul Akmal Sidek, Ahmad Fedtri Yahya dan Abby Fana. MHI akan mengupas topik-topik seperti tradisi perayaan Deepavali iaitu adat mandi minyak, makanan tradisi dan konsep rumah terbuka. MHI juga memberi peluang orang ramai untuk menyampaikan ucapan Deepavali melalui panggilan telefon ke studio. Selain itu, ia turut membincangkan isu-isu seperti erti Cahaya Deepavali, fesyen terkini, membeli belah sempena Deepavali, barangan kemas dan juga isu kahwin campur.
Seterusnya, penonton akan dihiburkan pula dengan drama berjudul Cahaya Deepavali pada jam 11.00 pagi. Drama yang berkonsepkan drama muzikal ini mengisahkan seorang gadis muda yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang seni sejak dari kecil lagi. Namun, dia yang dibesarkan di dalam keluarga miskin terpaksa memendamkan hasratnya itu setelah mendapat tentangan dari ibunya yang merupakan ibu tunggal. Kini, gadis itu telah berjaya menjadi pelakon tanah air yang dikenali dengan nama Kanchana Devi.
Drama yang menyayat hati ini akan membawa penonton menghayati bagaimana sambutan Deepavali dari pandangan kaca mata beliau sejak dari kecil hinggalah perubahan yang dialaminya ketika menyambut Deepavali setelah dewasa. Drama ini memberikan pengajaran kepada penonton mengenai kepayahan seoarng ibu membesarkan anaknya, pertalian persaudaraan, persahabatan di antara bangsa yang berbeza dan mengenai tradisi sambutan perayaan Deepavali itu sendiri. Cahaya Deepavali dibintangi oleh Kanchana Devi, Thasvita Devi, Sheela Pravina, Kumaresan, Kumaresh, Jason Chong dan Louisa Chong.
Istimewa sempena pesta cahaya ini, Wanita Hari Ini (WHI) akan mengupas topik Deepavali selama dua hari itu pada 27 & 28 Oktober 2008 jam 12.00 tengahari. WHI diserikan dengan suasana perayaan ini di dalam studio dengan menghiasinya dengan ’kolum’ indah dan diacarakan oleh Nor Azzura Azizul Azman dan Nadia Shahrul. Berkonsepkan Rumah terbuka Deepavali, tetamu WHI pada hari ini akan diraikan selain paparan segmen yang berkaitan dengan sambutan Pesta Cahaya Ini. Antara agenda istimewa yang dipaparkan ialah tarian klasik dari kumpulan kanak-kanak india, rakaman visual berkaitan adat mandi minyak dan jemputan pelakon Sathiya akan memperkatakan tentang perayaan ini.
Manakala WHI pada 28 Oktober 2008 akan mengupas secara terperinci mengenai penggunaan ’rempah’ dan khasiatnya yang menjadi bahan utama di dalam masakan kaum India dan juga masyarakat umum. Selain itu, penonton juga dapat mempelajari teknik masakan melalui demonstrasi masakan kari yang tidak menggunakan santan untuk mengurangkan kolestrol.
Manakala Naana Neeya, filem Tamil pertama di Malaysia yang telahpun berada di pawagam pada bulan April 2007 yang lalu, akan ditayangkan pada jam 2.00 petang. Filem hebat ini mengisahkan tentang Applasamy dan isterinya Manggalam yang pekak dan bisu menjadi jiran kepada lelaki pembuli Gundotharan. Gundotharan amat membenci jiran-jirannya dan ini menyebabkan dia bersama ahli kumpulannya tampil dengan pelbagai muslihat untuk mengusir Applasamy dan keluarganya. Menariknya, seseorang mengekorinya dan sering menggagalkan segala rancangan jahatnya. Siapakah yang mengekori Gundotharan dan berjayakah dia merealisasiakan muslihatnya?
Filem genre komedi ini membawa penonton bergelak ketawa dengan aksi-aksi komedi yang terbaik untuk tontonan. Malahan, satu lagi unsur tambahan istimewa bagi filem Naana Neeya ialah gandingan bersama pelakon filem Melayu yang sangat sinonim dengan filem komedi iaitu Maidin atau lebih mesra disapa Mamu Maidin. Turut membintangi filem ini ialah Kulal Kesavan, Malarvili, R. Shanmuganathan, Jayasudha dan Phat Babu. Menggambarkan persekitaran dan situasi sebenar warga Malaysia yang berbilang bangsa, filem ini tidak terlepas daripada penekanan pada aspek pengajaran selain unsur hiburan.
Selamat menonton program terbaik dari TV3 istimewa sempena perayaan Deepavali!