Menurut Nora Danish, 36, banyak fakta disiarkan dalam artikel terbabit tidak tepat, termasuk dia kononnya muncul dengan produk krim antipenuaan.
Menegaskan dakwaan terbabit palsu, Nora turut berkongsi paparan skrin artikel berkenaan yang dikongsi menerusi IG Story di akaun Instagram miliknya.
“Saya belum lagi terfikir untuk bersara. Walaupun sibuk dengan perniagaan dan keluarga, minat terhadap lakonan tak pernah hilang.
“Suami (Nedim Nazri) sendiri tidak kisah jika saya terus berlakon. Jelas, laporan dalam artikel itu palsu.
“Saya tidak pernah mengeluarkan produk antipenuaan seperti ditulis. Bahkan, gambar hiasan digunakan mereka juga adalah foto yang dirakam pada majlis ulang tahun kawan saya, bukannya pelancaran produk dimaksudkan,”
– Nora Danish
Mengikut artikel itu juga, Nora dikatakan mempunyai syarikat pengurusan yang mengendalikan kerjayanya.
“Perkara itu cukup pelik kerana saya kini bergerak sendiri, tanpa dibantu mana-mana syarikat pengurusan,”
– Nora Danish
Ibu kepada dua putera, Putera Rayqal dan Mohamed Neyqal Nedim, itu berharap peminat tidak cepat percaya dengan laporan berkenaan.
“Saya juga maklum mengenai permainan mereka bagi menaikkan jumlah trafik dan pembacaan sebagai strategi melariskan atau memperkenalkan sesuatu produk. Kiranya, taktik mereka memang menjadi kerana kawan sendiri ingat saya menjual produk sedemikian.
“Saya juga berniaga, tetapi bukan dengan cara menabur fitnah. Tidak perlulah sampai mengada-adakan cerita tidak benar.
“Saya berpeluang memeriksa jenama produk terbabit dan ia memang wujud. Lebih melucukan, dalam artikel itu pun ada ulasan daripada beberapa artis terkemuka, yang memuji produk berkenaan,”
– Nora Danish
Nora juga mendakwa, penulis terbabit menggunakan logo sebuah majalah terkenal, yang ditampal pada laman penulisannya.
Sumber: Berita Harian