Penyanyi Naim Daniel, 23 tahun, berdepan detik cemas apabila terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, hari ini.
Menurut Naim, kereta jenis Ford Ranger pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke Sri Pentas bagi rakaman sebuah program hiburan. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Naim menerima rawatan sebab cedera ringan di rahang dan gusi.
“Naim dan kakak dalam perjalanan nak pergi kerja untuk rakaman di Sri Pentas, tiba-tiba terlanggar divider dan dan keadaan agak cemas.
“Alhamdulillah saya dan kakak tak apa-apa, cuma rahang rasa terkehel sikit nak bercakap pun agak sukar sementara menunggu kereta kena towing.
– Naim Daniel
Tambah Naim situasi semakin cemas apabila dia cuba mengelak kereta dari arah belakang hingga menyebabkan dia hilang kawalan.
Biarpun kereta miliknya itu mengalami kerosakan di bahagian depan, namun Naim bersyukur kerana dia dan kakaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Sementara itu, penyanyi lagu Sembah ini berkata, dia tidak dapat meneruskan rakaman program berikutan mahu menyelesaikan urusan kemalangan tersebut.