PENGALAMAN dikurung, didera pembantu rumah dan konflik keluarga menjadi inspirasi Cik B yang juga anak kepada usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida menghasilkan lagu berjudul Tolonglah. Cik B, 15, atau nama sebenarnya Nor Edlynn Zamileen berkata, lagu genre rap adalah ciptaannya bersama seorang teman dengan menampilkan idea gubahan lirik dan dilatari penyusunan video oleh Vida bersama Cik B sendiri.
“Saya harap orang menerima saya membawa lagu ini walaupun mungkin ada yang tidak percaya dengan kisah hidup itu kerana saya nampak ‘happy’. Memanglah dari kecil saya ibarat dulang emas tetapi apa yang orang tidak tahu, saya selalu kena kurung dan didera pembantu rumah dan bermasalah dengan ayah. Lagu ini mengenai hidup saya dari kecil hingga dewasa,”
Cik B ditemui pada pelancaran single lagu TOLONGLAH di kediaman keluarganya di Meru, Ipoh, baru-baru ini.
Cik B yang turut berlakon dalam drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta di TV3 baru-baru ini berkata, lagu yang sudah siap sejak hujung tahun lalu itu ‘diperam’ agak lama kerana dia belum ada keberanian untuk melancarkannya.
“Ia sepatutnya dikeluarkan lebih awal tetapi ketika itu saya belum bersedia kerana masih ada rasa malu dan takut untuk berdepan dengan media. Baru sekarang saya berasa okey sebab saya dah kurang malu dan saya percaya dengan diri sendiri sekarang,” katanya.
Cik B berkata, dia sudah bersedia dan kalis dengan kecaman netizen yang mungkin mempertikaikan bakat nyanyian yang cuba ditonjolkan.
“Sejak berusia 12 tahun lagi saya selalu kena kecam. Jadi, sekarang sudah lali dengan kecaman. Saya bersedia untuk menyanyi secara ‘live’ kerana itulah suara saya, cuma saya hanya memakai sedikit ‘auto- tune’ kerana saya pelat ‘S’,” katanya sambil memaklumkan bercadang mengambil kelas vokal selepas ini bagi memantapkan mutu suara.
Katanya, dia juga tidak kisah dikatakan mengambil aura populariti ibunya Datuk Seri Vida untuk membina kehidupannya ketika ini.
“Saya tidak kisah orang kata saya mengambil kesempatan terhadap mama kerana sebenarnya saya ada pendirian sendiri. Kalau mama dah bersara dalam bidang ini saya ada gantinya dan kalau saya mengambil kesempatan tiada apa-apakan. Kami sekeluarga berkongsi apa yang kami mahu.
“Ini kehidupan saya, saya nak buat banyak benda. Saya mahu menjadi ‘multitasking dengan berlakon, menyanyi, berniaga dan kalau ada rezeki saya hendak keluar pula ke peringkat antarabangsa,” katanya turut memaklumkan bakal mengeluarkan single kedua tahun depan.
Mempunyai ramai pengikut dan sebagai anak jutawan kosmetik, Cik B berkemungkinan berdepan dengan pihak yang cuba mengeksploitasi dan mengambil kesempatan.
Namun, Cik B dengan gaya penampilan baharu kini menegaskan dia benar-benar bersedia menjadi selebriti dan menepis semua tanggapan negatif.
“Imej dalam lagu itu adalah imej saya sendiri. Lagu itu memberi kekuatan untuk keluar dari kepompong dan malu untuk berdepan dengan semua selama ini,” katanya yang akan cuba sedaya-upaya menguruskan jadual masa kehidupannya sebagai selebriti dan masa untuk belajar.
Baru-baru ini Cik B bercerita kisah hidupnya ketika kecil di Twitter yang mendapat perhatian ramai. Bukan sebarangan cerita, Cik B membuka kisah dia didera ketika kecil oleh pembantu rumah, serta kisah ayah kandungnya.
“Masa cikb kecik cikb selalu kena dera dengan bibik. Cikb kena kurung, kena pukul, kena semualah pastu masa cikb kecik ayah kandung cikb dera mama jugak. Pukul-pukul sampai nak bakar rumah sebab mama tak kasi duit. Ayah cikb kaki mabuk kaki rempit semua kaki dia ada
“Cikb ingat lagi yang cikb kena pukul pakai buluh dengan bibik. Tapi cikb tak bagitahu mama sebab cikb kesian dengan bibik tu nanti kena marah dengan mama. Bibik tu pilih kasih, dia sayang anak yang ke 2 dan kacak Tapi cikb dgn abang sulung kena dera,” tulis Cik B di Twitternya yang menggunakan akaun @HavocCikb.
Tambah Cik B lagi, ayah sering mengugut ibunya untuk memotong tangan abang kepada Cik B jika tidak diberikan wang. Malah, Cik B juga pernah dilarikan oleh ayah kandungnya itu.
“Ayah cikb pulak selalu ugut mama nak potong tangan abang cikb Kalau tak kasi duit. Lepas tu ada satu hari tu ayah cikb bawak lari cikb ke rumah dia. Lepas tu mama pun ambil cikb balik rumah sampai gaduh-gaduh dengan ayah kandung cikb.
“Bila mama tengok cctv dia nampak cikb kena dera terus mama balik pecat dia (bibik). Tapi cikb pun kesian lah dengan dia macam mana dia nak kerja nanti sebab bibik tu pun kaki dadah pastu asyik-asyik isap rokok bila mama selalu takda rumah.
Menurut Cik B lagi, walaupun ibu dan ayahnya sudah bercerai namun setiap bulan ayahnya masih meminta wang daripada ibunya.
“Walaupun mama dengan ayah cikb dah cerai setiap bulan dia mintak duit Tapi mama pun kasi jelah.
“Mama sebenarya dulu kena buang dgn mak mama sendiri pastu mok jah,abah ajit jaga mama. Tapi bila mama besar mama cari mak mama balik,” tulis Cik B lagi.
Kisah yang ditulis oleh Cik B di Twitternya mendapat hampir 11,000 Retweet dan hampir 18,000 likes.
*Sumber: Harian Metro