Nadia Buka Tudung & Seksi Hanya Salah Faham – Nadia
Penyanyi tahun 90-an yang popular dengan lagu Salam Untuk Kekasih iaitu Nadia berkata tuduhan yang mengatakan dia pernah bertudung dan kini kembali seksi tercetus kerana salah faham pihak tertentu.
Pemilik nama sebenar Zarina Mohd Ali ini memberitahu, dakwaan itu timbul kerana dia sering menghadiri kuliah agama ketika menetap di Kuala Lumpur (KL) beberapa tahun lalu.
“Ketika duduk di KL sebelum ini, saya akui kerap menghadiri kuliah agama di kawasan Ampang. Apabila muncul di majlis ilmu dan agama tentulah saya menjaga aurat sebagai Muslimah.
“Ketika itu pula saya tidak aktif menyanyi, jadi mungkin sebab itu orang yang nampak saya berimej tersebut menyangka saya sudah berhijrah.
“Kini apabila saya muncul kembali dalam bidang seni, timbul pula cerita kononnya saya buka tudung dan dedahkan aurat kerana mahu menyanyi semula,”
Ibu kepada dua anak ini juga memohon maaf jika imej seksinya menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat tetapi ia hanya penampilan luaran sebagai penghibur.
“Sudah banyak kali saya dengar orang bercakap dan memperkatakan mengenai imej luaran saya. Saya minta maaf jika ada pihak yang kurang senang.
“Namun saya tidak mahu hipokrit dan masih tahu batas sebagai ibu dan Muslimah. Saya tahu sesuaikan penampilan mengikut keperluan sesuatu majlis atau acara,” katanya.
Justeru dia berharap agar orang ramai tidak menilai dan menjatuhkan hukum dengan sewenang-wenangnya berdasarkan penampilannya.
“Saya kecewa dengan sikap segelintir pihak yang anggap diri mereka alim lantas memandang rendah pada wanita Islam yang tidak menutup aurat.
“Pakaian bukan ukuran. Apa juga saya pakai dan lakukan saya sentiasa ingat Tuhan dan agama.
“Tidak baik jika kita mudah menilai dan menghukum orang lain menerusi luaran tanpa mengenali seseorang terlebih dahulu,” katanya.
Terbaru, pengusaha Timah’s Motel di Sabah ini tampil dengan lagu terbaru berjudul Hanya Untukmu yang mula diputarkan di radio sejak empat bulan lalu.
Katanya, lagu itu juga akan dimuatkan dalam album terbaru yang dijangka dipasarkan pada awal 2013.