Penyanyi Nabila Razali dikatakan telah mengikat pertunangan dengan ahli perniagaan yang juga bekas pelumba kereta litar Formula, Nik Iruwan Nik Izani, malam kelmarin.
Memetik Kosmo Online, menurut sumber, majlis yang hanya membabitkan ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak berlangsung di rumah baharu Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 30, di Selayang.
Daripada perkongsian saudara terdekat lelaki yang berjaya menawan hati pelantun lagu Peluang Kedua itu, jelas majlis tertutup tersebut diserikan pelamin kecil dan disertakan acara bertukar dulang hantaran.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh mereka disatukan, namun ada yang menyatakan hari bahagia itu bakal berlangsung tahun depan.
Sebelum ini mereka bijak menyembunyikan perhubungan, namun peminat pernah terserempak dengan pasangan terbabit di Genting Highlands, baru-baru ini.
Malah maklumat daripada pengikut tegar Nabila yang mesra disapa Bella itu mendakwa kedua-duanya baru beberapa bulan serius menjalin percintaan.
Kecenderungan sama iaitu menggemari sukan permotoran antara perkara yang mengeratkan lagi hubungan dua individu popular ini.
Daripada carian maklumat, Nik Iruwan yang berusia 37 tahun adalah pemegang Ijazah Pemasaran dari Universitiy of Hertfordshire, United Kingdom.
Selain terbabit dalam pembangunan pelumba negara melalui sukan go-kart sejak tahun 2008, Nik Iruwan turut menguruskan empayar perniagaan keluarganya.