in ,

NABILA HUDA JADI ANAK LUAR NIKAH DALAM SEHARUM KASTURI

KISAH KEINSAFAN SEORANG ANAK LUAR NIKAH DI BULAN RAMADAN MENERUSI IBU DALAM SLOT SEHARUM KASTURI PADA 18 SEPTEMBER 2008 DI RTM1

Bulan Ramadan sememangnya cukup bermanfaat bagi mereka yang ingin kembali ke jalan kebenaran apatahlagi sekiranya melakukan dosa terhadap seorang bergelar ibu yang di situ terletaknya syurga bagi seorang anak. Biar sebesar mana pun dosa dan kesilapan yang dilakukan seorang ibu itu, si anak tetap tidak berhak menghukumnya apatahlagi telah terbit keinsafan di hati ibu itu.

Situasi itu melatari plot cerita Ibu yang siarkan pada 18 September 2008 (Khamis), jam 4.30 petang di RTM1 mengisi slot Seharum Kasturi khas sempena Ramadan yang disiarkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) terbitan Gemilang Network Sdn Bhd.

Episod Ibu mengisahkan watak Mira berusia 25 tahun adalah seorang akauntan berjaya yang telah dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan didikan agama yang tinggi dari ibu angkatnya, Rokiah. Sepanjang Ramadan, Rokiah tidak pernah gagal menunaikan solat tarawih. Malah bertadarus hingga khatam al Quran. Malah sejak kecil Mira diasuh supaya mengaji, solat dan sebagainya.

Namun di sebalik kejayaannya dalam pelajaran dan akhlaknya yang baik, Mira hairan kerana orang sekeliling memandang rendah dan seolah jijik terhadap ibu angkatnya itu. Lalu Mira memutuskan untuk mula menyiasat untuk mengetahui kebenaran di sebaliknya.

Akhirnya terbongkarlah cerita dirinya bukan anak angkat Rokiah tetapi sebenarnya anak darah daging Rokiah. Tetapi segalanya dirahsiakan kerana Mira merupakan anak luar nikah Rokiah.

Kerana tidak mahu Mira malu dengan status dirinya setelah dewasa, lantas selama ini Rokiah menipu Mira dengan mengatakan Mira hanyalah anak angkat. Rupanya, Rokiah telah mengorbankan jiwa perasaan sendiri demi anaknya Mira.

Sebaik mengetahui kebenaran itu, Mira menjadi benci pada Rokiah. Benci kerana menjadikan beliau seorang `anak haram’. Mira merajuk dan membawa diri ke tempat peranginan untuk mencari ketenangan. Namun, di sebalik ketenangan yang dicari itu, hatinya tetap runsing.

Sejak itu setiap malam, Rokiah berbuka puasa, solat tarawikh, bertadarus dan membuat kuih raya bersendirian. Sehinggalah tiba malam hari raya, hati ibu tua itu semakin sayu kerana Mira masih tidak pulang. Rasa bersalah dari dosa lampau, membuatkan Rokiah tidak lekang dari solat (sujud), doa dan bertaubat, walaupun telah kedengaran takbir hari raya dari masjid berdekatan.

Ibu manyaksikan gandingan mantap lakonan pelakon remaja terkenal, Nabila Huda Suhaimi yang membawakan watak Mira bergandingan dengan pelakon yang sememangnya berkesan melakonkan watak sebagai seorang ibu iaitu Hamidah Wahab.

Adakah akan hadir keinsafan di hati Mira di sebalik perbuatannya itu? Mungkinkah Mira kembali ke pangkuan ibunya di pagi raya seperti yang diharapkan? Jangan ketinggalan menyaksikan babak-babak penuh syahdu dan pengajaran ini menerusi Ibu yang siarkan pada 18 September 2008 (Khamis), jam 4.30 petang di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Majlis Berbuka Puasa SNP

Aida Radzwill, Linda Hashim Dalam Selembut Muhasabah