Menerusi satu hantaran di laman Instagram, pengacara berusia 33 tahun itu memuat naik sekeping gambar dirinya yang sedang memangku bayi perempuan itu sekali gus berkongsi perkembangan terkini.
Menurut Nabil, isteri dan anaknya dalam keadaan sihat dan hanya memerlukan rehat secukupnya selain berterima kasih atas ucapan serta doa daripada orang ramai.
“Saya secara rasmi seorang bapa! Alhamdulillah, segalanya cepat dan berjalan lancar. Ayda bersalin Baby Wuvv jam 7.07 malam dan beratnya 2.77 kilogram.
“Ayda & bayi sihat alhamdullah. Mereka hanya perlukan rehat yang banyak. Malam semalam dah mula bangun hampir setiap jam tapi alhamdulillah bayi senang dipujuk.
“Terima kasih semua atas ucapan dan doa. Moga kita sama-sama dapat keberkatan daripadaNya. Jaga diri dan kekal selamat,” tulisnya.
Terdahulu, Ayda melahirkan bayi tersebut secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas terpaksa bersalin seminggu lebih awal.
Pasangan selebriti berkahwin pada 1 Januari lalu selepas sembilan bulan mengikat pertunangan secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.