Nabil berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa oleh kerajaan, tawaran membuat persembahan dari Mac lalu sehingga Disember depan, dibatalkan pihak penganjur.
“Sejujurnya, sepanjang PKP, saya tidak ada pendapatan kecuali sebagai pengacara Meletop. Malah, pengurus saya beritahu ‘show’ dan acara hiburan dari Mac hingga Disember, semua dibatalkan.
“Ada lebih 20 acara dibatalkan dengan kerugian yang harus saya tanggung membabitkan ratusan ribu ringgit.
Namun, mujurlah kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium, sekurang-kurangnya tidaklah memberi beban untuk saya melunaskan komitmen,”
– Nabil Ahmad
Menurut Nabil lagi, akibat berdepan cabaran ekonomi sepanjang PKP, dua pekerja syarikat produksinya terpaksa dihentikan perkhidmatan.
“Setakat ini, saya bersyukur masih ada pekerjaan. Alhamdulillah selepas PKP, saya dapat rentak bekerja semula.
“Sekarang ini, syarikat produksi saya ada seorang pekerja sahaja untuk memantau kerja yang tertangguh. Namun, Insya-Allah kita doakan semoga ekonomi negara semakin stabil,” katanya.
– Nabil Ahmad
Tambah Nabil, dia bersyukur banyak jenama tampil menjalin kerjasama dengannya seperti produk wangian, Sugarbomb sehingga dapat menjana pendapatan.
“Saya bersyukur kerjasama ini membuka jalan kepada kawan-kawan untuk berniaga. Ramai sebenarnya, di antara mereka bergantung kepada perniagaan runcit ini.
“Justeru, apabila dapat menjana pendapatan sendiri, tidaklah mereka perlu meminjam wang,” katanya yang dilantik sebagai duta produk wangian bersama Achey.
– Nabil Ahmad