Pengerusi MyCreative, Encik Noor Azmi Mat Said menyatakan bahawa, “Pengumuman pembukaan sektor fesyen dalam negeri di bawah Fasa 1 dan sektor kandungan kreatif dalam negeri di bawah Fasa 2 dikuatkuasakan pada 16 Ogos 2021 tersebut membawa semangat baharu yang jelas meletakkan kepentingan ekonomi jingga ini dalam pemulihan ekonomi negara.”
“Harapan kami adalah supaya proses pemulihan dan penjanaan semula ekonomi akan bertambah lancar dan pembukaan industri-industri lain turut dipercepatkan dengan selamat, teratur dengan pematuhan SOP yang lengkap. Kami faham bahawa setiap keputusan mesti dibuat dengan berhati- hati dan mengambil kira negara masih berada dalam situasi pandemik. Dengan ini khususnya, pencapaian ekonomi jingga negara juga akan turut bertambah baik selari dengan maklamat negara pada masa terdekat nanti Insyaallah.”
Encik Noor Azmi Mat Said
Seperti juga industri dan perniagaan lain, penggiat-penggiat industri kreatif terpaksa menghadapi isu- isu seperti kekurangan aliran tunai untuk membayar sewa dan gaji pekerja serta pelbagai lagi masalah pada masa yang sukar ini.
Penggiat fesyen dan usahawan Christy Ng berkata, “Harapan saya adalah supaya tiada lagi perubahan SOP dan Malaysia pulih dari cabaran ekonomi yang kritikal ini dengan selamat secepat mungkin.”
“Perjalanan yang penuh dugaan masih perlu dihadapi dan kita perlu terus fokus dalam membina semula perniagaan. PKP telah memaksa kita menerap aspek digital dalam menjalankan perdagangan seharian. Kemahiran baharu harus dipelajari dan buka minda kepada cara baharu untuk kembangkan perniagaan bagi menarik pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Kedai fizikal untuk pengguna menyentuh, merasa dan mencuba tetap penting tetapi tidak dapat dinafikan bahawa membeli-belah dalam talian kian meningkat.’ kata pula Leslie Variyan, pengasas label fesyen tempatan, Variante.
Shukri Shari, Pengarah Kreatif jenama fesyen Locka pula berkata, “Kami sangat lega kerana dapat meneruskan perniagaan. Sehari tutup pun terasa kesannya, apatah lagi tiga empat bulan. Saya bersyukur diberi kebenaran untuk membuka kedai semula kerana penutupan berpanjangan akan memberi kesan yang negatif kepada ekonomi industry dan juga negara. Harapan saya agar kita dapat kembali pulih seperti biasa.”
“Dari segi pengeluaran, penyesuaian perlu dibuat mengikut keadaan semasa secara asas dan bukannya mengikut trend. Pelanggan tidak dibenarkan mencuba pakaian walaupun kedai boleh dibuka dengan kes berjumlah lebih 20 ribu sehari, tidak ada yang bersedia untuk datang secara fizikal dan mencuba produk. Pendapatan boleh guna kini lebih rendah kerana ramai yang tidak bekerja dan perlu berjimat untuk perbelanjaan yang lebih penting seperti makanan. Jualan bulanan di bawah tahap sederhana seperti yang dijangkakan. Ianya amat penting untuk industri fesyen kembali memahami apa yang benar-benar diperlukan oleh pasaran pada masa ini. Itu yang dimaksudkan dengan kembali ke asasnya.” kata Zaid Arif, Pengasas kasut dan pakaian Zeve Shoes.
Usahawan, Hugh Koh dari jenama pakaian popular Pestle and Mortar juga berkata, “Dengan peningkatan kadar vaksinasi yang positif di kalangan rakyat Malaysia dan pengumuman pembukaan pusat beli-belah serta kilang baru-baru ini, sedikit sebanyak kemajuan sudahpun dapat dilihat. Sayangnya tiada kepastian dalam menangani virus ini dan juga keputusan oleh pihak berkuasa. Kami akan meneruskan perniagaan dengan pendekatan yang optimis tetapi berhati-hati.”
Penggiat-penggiat industri perfileman juga sebulat suara menyokong pembukaan kegiatan perfileman mengikut SOP dengan selamat dan lancar.
Shahrulezad Mohameddin, Pengarah Filem syarikat penerbitan Radius One menyatakan bahawa, “Sudah sampai masanya untuk kembali beroperasi sebab agak lama bidang ni dihentikan. Perancangan kami adalah untuk mempersiapkan tenaga kerja di bawah Radius One dengan vaksin yang lengkap dan ikut SOP yang ditetapkan oleh FINAS. Nasihat saya kepada penggiat industri sama ada sebalik tabir dan artis wajib ialah supaya ambil vaksin untuk memudahkan semua pihak. Perasaan syukur yang teramat sangat apabila kerajaan umumkan industri ini boleh dibuka semula.”
Nanthini Ganasen, Pengarah dan Penerbit syarikat perfileman Tamil, Jhangri berkata pula, “Dengan meningkatnya platform streaming dalam talian seperti Netflix, Amazon Prime dan Disney Plus, peluang untuk menembusi medium tersebut harus dikaji dan dilaksanakan dengan lebih mendalam. Saya hanya risau kerjasama dengan platform OTT dan saluran televisyen akan memberikan keselamatan pekerjaan yang minima bagi para freelancer yang periuk nasinya bergantung pada pawagam. Astro Vinmeen telah membuka slot utama mereka untuk kandungan tamil tempatan semasa tempoh MCO dan peratusan penonton kandungan tempatan meningkat sejak itu. Ini menjadi sebab utama banyak syarikat produksi, artis, pengarah dan kru teknikal dapat bertahan dalam situasi pandemik. Kerjasama FINAS dengan saluran TV tempatan dengan memberikan geran kepada syarikat yang tersenarai pendek melalui proses pitching mereka diyakini telah membuka peluang bagi para freelancer dan pemain industri sepenuh masa. Saya juga harap penyaringan untuk siaran teater berdasarkan kualiti dipertingkatkan. Ini akan memastikan bahawa hanya filem berkualiti disiarkan di pawagam dan mendapat kepercayaan para penonton filem untuk menonton kandungan tempatan.”
Encik Abid Hussain, Pengasas syarikat perfileman Creative Stew Sdn. Bhd turut menyatakan, “Oleh kerana pandemik COVID-19, industri kami telah menghadapi tempoh masa yang kacau-bilau dan penuh dengan ketidakpastian. Projek pengeluaran dan pengedaran menghadapi kelewatan dan penagguhan yang menyebabkan kehilangan sumber pendapatan, kehilangan kerja, penutupan perniagaan kecil dan menimbulkan lebih lagi kesangsian atas masa hadapan industri tercinta kami ini. Namun begitu, kerajaan Malaysia telah mencuba dengan sedaya upaya untuk memberikan kami pertolongan dengan pelbagai cara, walhal pertolongan itu juga ada batasannya.”
“Sekarang, dengan pembukaan semula industri kreatif, kami berharap dan berdoa agar kami semua dapat pulang bekerja dan kembali semula kepada projek yang ditangguhkan. InsyaAllah industri kreatif tercinta ini dapat pulang semula kepada kegemilangannya seperti dulu kala. Kami pasti bahawa saudara kami dalam industri kreatif mempunyai ketabahan untuk membangkit semula dan menyahut segala cabaran yang bakal datang.”
MyCreative menggalakkan penggiat-penggiat industri kreatif untuk mengikuti sebarang perkembangan mengenai program yang dijalankan untuk industri kreatif melalui platform media sosial MyCreative serta laman web www.mycreative.com.my
Tentang MyCreative Ventures
MyCreative merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat untuk meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap yang lebih tinggi menerusi pelaburan kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman. Diilhamkan daripada pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta dari Belanjawan 2012 untuk diperuntukkan kepada industri kreatif, MyCreative telah ditubuhkan pada 20 April 2012 di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan kini juga berada di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak 2019.
MyCreative membuat pelaburan daripada dana yang diperuntukkan dalam perniagaan kreatif Malaysia yang berdaya maju dengan misi untuk mencapai kesan berikut:
1. Meningkatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia yang boleh diukur dengan peningkatan peluang pekerjaan.
2. Meningkatkan pendapatan kasar daripada industri kreatif Malaysia untuk menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
3. Meningkatkan status industri kreatif Malaysia melalui kesedaran awam dan kesan sosial.
Kumpulan MyCreative meneruskan usaha untuk menyokong industri seni kreatif dengan pengenalan unit-unit di bawahnya, CENDANA dan RIUH pada tahun 2017.