in ,

MyCreative Memanfaatkan Mandat PENJANA demi Merancakkan Ekonomi Kreatif

Permohonan Geran, Padanan Pelaburan dan Pinjaman mula diterima

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2020 – MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyambut baik peruntukan bernilai sebanyak RM225 juta bagi industri seni, budaya, hiburan dan acara di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin pada 5 Jun lalu.

MyCreative kini sedia menerima permohonan untuk program-program MyCreative yang dirangka di bawah peruntukan PENJANA. Program-program ini diharap dapat memberikan rangsangan cepat dan berkesan untuk semua yang berkaitan dengan Industri Kreatif tanah air.

Penjana

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah menyuarakan komitmen Kementerian beliau dalam menyokong Industri Kreatif: “Peruntukan di bawah PENJANA amat dialu-alukan kerana ia memberi perhatian kepada keperluan setiap warga industri; memberi dorongan yang sangat diperlukan bagi sebahagian besar ekonomi kreatif. Terdapat juga penekanan ke arah pendigitalan, pembangunan dan kemampanan. Ini akan bantu melengkapkan inisiatif kami bagi Industri Kreatif dalam enam bulan yang akan datang.”

Menurut Dato’ Saifuddin, “Tumpuan utama kami adalah memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat secepat mungkin, dengan urustadbir yang baik serta berintegriti. Saya yakin MyCreative dan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, termasuk golongan wanita, anak muda dan minoriti, sambil menyahut seruan Perdana Menteri mengelakkan birokrasi serta peraturan berlebihan menghalang usaha pemulihan ekonomi negara.”

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan rasional di sebalik peruntukan itu: “Keputusan untuk memberi peruntukan kepada industri seni, budaya, hiburan dan acara ini adalah hasil daripada maklum balas yang diterima semasa sesi dialog kami dengan pelbagai wakil industri. Langkah rangsangan ekonomi untuk industri kreatif adalah hasil kolaborasi rapat pihak Kementerian Kewangan (MOF), KKMM dan MyCreative. Langkah rangsangan ini membuktikan lagi sokongan Kerajaan terhadap ekonomi kreatif, lebih lagi dalam persekitaran sukar hari ini yang disebabkan penularan wabak COVID-19.”

Untuk tempoh enam bulan sehingga Disember 2020, MyCreative akan memberi tumpuan untuk membantu urus niaga dan aktiviti kreatif beralih ke dan menguasai peluang digital dan atas talian dengan lebih berkesan.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri Kewangan kerana memberi kepercayaan kepada MyCreative untuk merangsangkan semula Ekonomi Kreatif dan kembali sebagai penyumbang penting kepada ekonomi digital Malaysia dan KDNK,” kata Mohd Naguib Razak, Pengerusi MyCreative Ventures.

Menurut Mohd Naguib, “Peruntukan keseluruhan bernilai RM190 juta untuk sektor kreatif di bawah tanggungjawab MyCreative – yang telah kami rangkakan sebagai Pelan PENJANA bagi Industri Kreatif – adalah bukti kepercayaan kita bersama terhadap nilai dan potensi Industri Kreatif Malaysia. MyCreative mengakui mandat ini membawa tanggungjawab besar untuk melaksanakan langkah-langkah ini dengan cara yang paling cepat lagi berkesan sambil terus menambah nilai pada industri, menjamin masa depan industri kreatif dan memastikan suara industri ini kedengaran. “

Program bawah MyCreative meliputi 10 subsektor kreatif: Penciptaan Kandungan (termasuk Filem, Kandungan Penyiaran & Penstriman dan Permainan Video), Muzik, Fesyen, Seni Persembahan, Seni Visual, Sastera, Seni Tradisional dan Kebudayaan, Seni Kulinari, Reka Bentuk dan Pendidikan Kreatif.

Pemohon boleh memanfaatkan pelbagai skim dan inisiatif seperti Geran Acara Langsung, Geran Pemasaran Digital, Skim Padanan Pelaburan serta Pinjaman Mudah Faedah Rendah. Langkah ini akan diperkemaskan lagi menerusi Program Digital Velocity Industri Kreatif MyCreative yang merangkumi latihan pemasaran dan promosi digital, bantuan penyambungan (connectivity) serta khidmat nasihat.

Bantuan yang tersedia di bawah Pelan PENJANA bagi Industri Kreatif akan merangkumi :

  • –  Geran Pemasaran dan Promosi Digital – Pemasaran digital bernilai RM50 juta yang diperoleh daripada geran RM10 juta, dengan had nilai pemasaran RM25,000 setiap penerima bagi memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penerima industri kreatif.
  • –  Geran Pemulihan Industri Kreatif:
    • Geran Acara & Pameran Digital – untuk mempercepatkan pemulihan acaralangsung dan pameran yang menampung begitu banyak pekerjaan dalam ekosistem Ekonomi Kreatif – dengan syarat penerima juga mengguna pakai kaedah digital / atas talian dalam aspek perniagaan dan menarik penonton.
    • Geran Filem Cereka Seni atau Festival – untuk membantu kesinambungan dan pemulihan filem cereka seni atau filem cereka festival tempatan menerusi pembiayaan pembangunan dan produksi termasuk filem dokumentari.
    • Geran Sastera & Penerbitan Buku – untuk merangsang kesinambungan dan pemulihan penyelidikan, penulisan, penerbitan dan penjualan karya bertulis tempatan. Ini akan merangkumi sokongan fiksyen, bukan fiksyen, novel grafik, buku komik, puisi, biografi dan laporan melalui subsidi dan geran.

– Inisiatif Pemulihan CENDANA – memastikan bantuan kritikal disalurkan kepada tiga subsektor di bawah mandat CENDANA, iaitu Seni Persembahan & Tradisional, Seni Visual dan Muzik Independen, termasuk penyertaan Kraf Tradisional.

– Skim Padanan Pinjaman Pelaburan – Skim Padanan Pelaburan Bersama “Berkarya dengan Malaysia” untuk Drama Filem & TV Antarabangsa, Program Gaya Hidup dan Dokumentari. MyCreative, dibimbing oleh Lembaga Pengarahnya, akan bersama merunding secara pukal penawaran pelaburan kandungan dengan penyiar tempatan, serantau dan antarabangsa dan juga platform penstriman dan lain-lain.

– Dana Pinjaman Mudah Trek Laju Industri Kreatif – untuk syarikat, perkongsian dan milikan tunggal, dengan kadar faedah 3.5% setahun dan tempoh pernafasan sehingga 12 bulan

  • Pinjaman Pemulihan Perniagaan Industri Kreatif – disasarkan untuk usahawan dan pengamal kreatif yang lebih berpengalaman dan mempunyai model perniagaan yang sudah stabil dengan pendapatan melebihi RM1 juta yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM500,000.
  • Pembiayaan-Mikro bagi Usahawan Industri Kreatif – disasarkan untuk syarikat, perkongsian dan milikan tunggal baharu yang terjejas akibat pandemik COVID- 19. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM150,000.
  • Pembiayaan Pengantaraan bagi Penerbit Kandungan Industri Kreatif – disasarkan untuk penerbit kandungan yang telah mendapat kontrak penerbitan. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM500,000.Peranan secara keseluruhan MyCreative adalah untuk membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif berhijrah ke lanskap digital agar dapat kekal relevan dan berdaya saing dalam era norma baru. Perhatian istimewa akan diberikan kepada Acara Langsung dan Pameran, terutama jika mereka dapat membawa juga dimensi digital atau dalam talian ke dalam model perniagaan mereka.Di samping sokongan kewangan secara langsung kepada perniagaan kreatif, MyCreative juga ingin memberikan sokongan secara tidak langsung di bawah Program Digital Velocity Industri Kreatif, dalam bentuk nasihat, latihan dan rangkaian agar pengamal industri kreatif dapat menggabungkan dimensi digital atau dalam talian dengan lebih baik bagi perniagaan atau aktiviti kreatif mereka dengan menggunakan Geran Pemasaran dan Promosi Digital secara lebih berkesan. MyCreative juga telah mengatur kolaborasi dengan sektor swasta, bermulakan dengan Google, Facebook dan Yes, untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui latihan kaedah pengedaran dan promosi digital, pembangunan model perniagaan baharu serta penyambungan atau “connectivity”.Permohonan kini boleh diterima. MyCreative telah menyediakan garis panduan lengkap bagi setiap inisiatif dalam bentuk senarai Soalan Lazim disertakan juga dengan sistem ‘hotline’ bagi membantu proses permohonan dan juga rujukan atau perbincangan melalui laman web atau telefon.

Sila kunjungi http://www.mycreative.com.my/ untuk pengumuman penuh, Soalan Lazim dan maklumat hubungan tambahan.

Maklumat tambahan mengenai Inisiatif Pemulihan CENDANA boleh didapati di laman web https://www.cendana.com.my/

Latarbelakang

MyCreative merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat untuk meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap yang lebih tinggi menerusi kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman.

Diilhamkan daripada pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta dari Belanjawan 2012 untuk diperuntukan kepada industri kreatif, MyCreative telah ditubuhkan pada 20 April 2012 dibawah Minister of Finance Incorporated (‘MOF(Inc)’) dan kini juga berada dibawah skop Kementarian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak 2019.

MyCreative membuat pelaburan daripada dana yang diperuntukkan dalam perniagaan kreatif Malaysia yang berdaya maju dengan misi untuk mencapai kesan berikut:

1. Meningkatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia yang boleh diukur dengan peningkatan peluang pekerjaan
2. Meningkatkan pendapatan kasar daripada industri kreatif Malaysia untuk menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
3. Meningkatkan status industri kreatif Malaysia melalui kesedaran awam dan kesan sosial

Kumpulan MyCreative meneruskan usaha untuk menyokong industri seni kreatif dengan pengenalan anak-anak syarikatnya, CENDANA dan RIUH pada tahun 2017.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rich Brian Releases New Song LOVE IN MY POCKET

Beabadoobee Returns With New Single CARE