Sama seperti sebelum ini, MLS menggandingkan 14 kumpulan yang tediri daripada barisan pelawak dan selebriti dari pelbagai cabang industri hiburan termasuklah pelakon, penyanyi dan personaliti popular.
Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, penganjuran MLS untuk musim kedua ini adalah satu kebanggaan bagi pihak Astro.
“Dengan kejayaan MLS musim pertama tahun lalu serta penganjuran The Masked Singer Malaysia yang melabuhkan tirainya baru-baru ini, kami melihat perkembangan yang memberangsangkan terhadap genre komedi muzikal.
“Ini menjadi dorongan untuk kami selaku peneraju kandungan komedi utama tanah air terus menghasilkan konten yang lebih segar, lagi berkualiti demi menepati kehendak audiens,” ujarnya.
Dalam pada itu, program yang bakal bersiaran selama 12 minggu berturut-turut ini akan dikemudikan oleh dua nama sensasi dalam industri, Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.
Ujarnya, lebih menarik lagi lagenda rock tanah air iaitu Datuk Awie kembali menyarung jersi juri tetap dan turut ditemani pelakon jelita, Fazura dan hero Melayu kegilaan ramai, Zul Ariffin.
“Dengan penglibatan nama-nama ‘heavyweight’ atau besar seperti Awie, Fazura, Zul Ariffin, Nabil Ahmad, Elly Mazlein dan ramai lagi, besar harapan kami musim terbaharu ini bakal mendapat sambutan seterusnya mencatatkan penanda arasnya yang tersendiri.
“Ia sekaligus mengukuhkan lagi jenama MLS ini sebagai program utama industri hiburan. Semoga terhibur, dan jangan lupa untuk mengundi kumpulan kegemaran anda di laman web rasmi kami,” jelasnya.
Program yang sarat dengan gelak tawa ini bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya secaraeksklusif di saluran Astro Warna HD (107) dan Astro Warna (127) pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam mulai 18 Disember 2020.
Untuk pilihan alternatif, program ini turut boleh disaksikan di mana sahaja menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di on demand, serta juga boleh dinikmati menerusi platform digital melalui saluran YouTube rasmi Astro Gempak.