MUZIKA EKSTRAVAGANZA BAKAL GEGAR KOTA SINGA
Muzika Ekstravaganza yang menyatukan dua negara, Malaysia dan Singapura bakal menggegarkan untuk kali ke-lima penganjurannya di Kota Singa setelah kejayaannya pada tahun 2008 di Kuala Lumpur.
Menemui penonton pada 8 Oktober 2010 (Jumaat), jam 8.30 malam menerusi dua stesen, TV1 dan Suria (Singapura) bakal menyatukan artis dua negara di pentas sama melibatkan kolaburasi artis Malaysia yang membariskan nama Fatin, Tomok, Jaclyn Victor dan Aris Ariwatan. Kemunculan artis Singapura pula Eiss, Jeff Catz, Sarah Aqilah, Rahimah Rahim, Ramli Sarip, Nana dan Taufiq Batisah.
Program bersiaran secara langsung sepanjang dua jam ini menampilkan gandingan pengacara Hanie Hamid dan Khairuddin Saharom bersama-sama ‘menghidupkan’ malam penuh bersejarah menyatukan artis dan muzik bagi dua negara ini.
Penganjuran Muzika Ekstravaganza pastinya menjadi malam untuk merayakan berbagai bentuk muzik. Ini akan menjadi tontonan gabungan muzik retro, kontemporari, budaya dan moden. Ini meletakkannya sebagai pusat menggabungkan karya bakat-bakat terbaik daripada kedua-dua negara dan persembahan pelbagai muzik daripada lima genre utama termsuklah balada, hip hop, rock, jazz dan pop.
Jalinan kerjasama penyatuan MediaCorp Suria dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini sekaligus ternyata berfungsi sebagai platform menyatukan bidang penyiaran dari kedua-dua negara untuk bertemu dan membina hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, apatahlagi terdapat banyak persamaan dalam perkembangan muzik serta pertukaran pengaruh dan selera masyarakatnya.
Kedua-dua negara juga sememangnya berkongsi sejarah dalam muzik dimana Singapura merupakan pusat industri muzik daerah dari 50-an hingga 70-an yang kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur manakala Malaysia pula dari awal 80-an hingga sekarang.
Pada masa sama antara kedua-dua negara, ada sejumlah besar bakat dan terutama muzik yang mekar dalam pelbagai genre dan di tengah-tengah sejarah yang kaya ini, ikon muzik juga turut dilahirkan.