Ayai yang merupakan penyanyi kumpulan Illusi adalah antara penyanyi yang memiliki gaya vokal tersendiri dalam persada seni suara tanah air. Penyanyi yang popular dengan lagu berjudul ‘Puisi Cinta’ dan ‘Segalanya Ku Terima’ ini masih mengekalkan keaslian lenggok suaranya sejak 30 tahun yang lalu. Ayai atau nama sebenarnya Zahruddin Kamaruddin juga pernah mendapat tempat kedua dalam Anugerah Juara Lagu 1989 melalui lagu ‘Segalanya Ku Terima’.
Kali terakhir beliau menghasilkan album solo adalah pada tahun 1995 dan setelah hampir 20 tahun menyepi di dalam arus perdana industri muzik namun beliau masih tetap aktif di dalam persembahan pentas yang kebanyakanya di Negeri Johor KINI Ayai telah kembali menyinari industri muzik tanah air apabila beliau telah dinobatkan sebagai Juara bagi rancangan Gegar Vaganza (musim pertama) anjuran Astro.
Awi Rafael pula telah menapak di industri muzik tanah air sejak beberapa tahun lalu dan mula popular dengan lagu “Pulanglah” dan “Bila Aku Jatuh Cinta”. Beliau juga merupakan seorang penyanyi yang berkaliber dalam menulis dan juga mencipta lagunya sendiri. Awi juga sering diberi kepercayaan untuk mencipta dan menerbitkan lagu ciptaan beliau untuk beberapa penyanyi antaranya Aman AF2014 untuk lagu ‘Without You’, Atikah Suhaime untuk lagu ‘Jatuh Dari Langit’ OST filem Suamiku Jatuh Dari Langit dan juga Dato Siti Nurhaliza yang bertajuk ‘Mula dan Akhir’.
Selain daripada itu, Awi juga mempunyai syarikat produksi sendiri iaitu ‘Runaway Productions’ yang pada masa ini mempunyai dua artis di bawah naungannya iaitu Girl Republik dan Carla.
Selepas Ayai dinobatkan sebagai Juara Gegar Vaganza dan kejayaan lagu ‘Kalau Aku Kaya’ oleh Awi Rafael dan Altimet, Ayai dan Awi muncul dengan single terbaru mereka yang berjudul ‘Manusia Sempurna’. Lagu ‘Manusia Sempurna’ ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Awi Rafael sendiri. Pada mulanya lagu ini diciptakan hanya untuk Ayai sahaja, namun setelah Ayai dan team Astro mendengarnya maka mereka bersependapat bahawa lagu ini amat sesuai dan berpotensi tinggi untuk dipasarkan.
Ayai yang selama ini menyimpan hasrat untuk berduet bersama Awi Rafael telah mempelawa penciptanya untuk turut menyanyikan lagu ini bersama beliau. Lagu yang berunsur nasihat ini merupakan satu peringatan kepada para pendengar supaya dapat mempelajari dan mengikuti Sunnah dan juga ciri-ciri yang terdapat pada Nabi Muhammad S.A.W. Tanpa tunjuk ajar Baginda, kita tidak mungkin dapat menjalani hidup ini dengan aman dan bahagia.
Music video bagi ‘Manusia Sempurna’ juga telah dilancarkan di YouTube channel Warner Music Malaysia pada 29 November 2015. Mesej yang cuba disampaikan melalui muzik video ini ternyata terkesan kerana ia mampu memberi impak yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang menontonnya. Pelbagai teladan yang boleh kita contohi melalui pesanan yang disampaikan secara tersurat mahupun tersirat melalui lirik dan juga garapan muzik video ‘Manusia Sempurna’. Lagu ini merupakan hasil gabungan vokal yang hebat dan mantap kerana ternyata mereka berdua mempunyai alunan suara yang merdu dan amat serasi bersama.
‘Manusia Sempurna’ menampilkan Ayai dan Awi Rafael dalam rentak lagu yang berbeza dari sebelum ini. Disampaikan dalam mood yang mendayu-dayu, lagu hasil nukilan Awi Rafael ini tentunya sebuah halwa telinga yang tidak membosankan! ‘Manusia Sempurna’ telah menguasai beberapa radio tempatan dan sering mendapat sambutan yang luar biasa daripada para peminat mereka di Malaysian dan juga Singapura.
Lirik lagu ‘Manusia Sempurna’ oleh Ayai dan Awi Rafael
Mampukah aku hilang
Mampukah aku sedar
Mampukah aku hidup tanpa kamu?
Yakinkan hati ini
Tabahkan jiwa ini
Manusia Sempurna
Tolong ajarkan, aku jadi sempurna
Mampukah aku tabah
Mampukah ku berubah
Mampukah aku yakin tanpa kamu?
Tundukkan hati ini
Bukakan mata ini
Manusia Sempurna
Tolong ajarkan, aku jadi sempurna
Aku tetap aku
Tolong ajar aku
Yang Mulus
Yang Benar
Yang Kudus
Yang Bersinar
Banyak ingin ku kata
Gema jantung tersiksa
Darah mengalir dosa
Dosa hitamkan jiwa
Bila akan kau sedar
Luruskan semua kata
Gema jantung tersiksa
Dosa hitamkan jiwa
Manusia Sempurna
Tolong ajarkan, aku jadi sempurna