Berita baik untuk semua peminat bola sepak dan peminat setia docuseri Welcome to Wrexham! Disney+ Hotstar telah mengumumkan bahawa musim keempat rancangan popular ini bakal menemui penonton pada 29 Mei 2025, dan yang paling best — dua episod pertama akan ditayangkan sekali gus secara eksklusif di platform penstriman ini untuk tontonan penonton Malaysia. Jadi, kalau anda dah follow kisah kelab ini sejak mula, bersedialah untuk lebih banyak momen mendebarkan dan penuh emosi.
Rob Dan Ryan Kembali Dengan Misi Yang Lebih Besar
Kalau anda masih belum familiar, Welcome to Wrexham bukan sekadar kisah bola sepak biasa. Ia adalah dokumentari bersiri yang menyusuri perjalanan dua bintang Hollywood terkenal – Rob McElhenney (dikenali melalui It’s Always Sunny in Philadelphia) dan Ryan Reynolds (hero kesayangan ramai dalam Deadpool) – dalam usaha mereka untuk mengurus dan mengubah nasib kelab bola sepak profesional ketiga tertua di dunia: Wrexham AFC.
Pada tahun 2020, Rob dan Ryan mengejutkan dunia apabila mereka membeli Wrexham AFC, sebuah kelab kecil yang ketika itu hanya berada di liga kelima dalam sistem bola sepak England. Dengan impian untuk mencipta kisah underdog yang menginspirasikan, mereka berjaya membawa kelab ini naik pangkat dua kali berturut-turut,dan kini Wrexham beraksi di EFL League One buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun!
Cabaran Baru, Tekanan Lebih Tinggi
Namun, kejayaan tidak datang tanpa cabaran. Musim keempat ini bakal menunjukkan bagaimana tekanan semakin meningkat. Bila dah berada di liga yang lebih tinggi, saingan semakin sengit, perbelanjaan meningkat dan kecederaan pemain pula semakin kerap berlaku. Para peminat pula tidak putus-putus mendesak kelab untuk mencari bakat baharu bagi memperkuatkan pasukan.
Apa yang membuatkan docuseri ini begitu dekat di hati penonton adalah penglibatan komuniti dan penyokong kelab yang begitu setia. Setiap kemenangan diraikan, setiap kekalahan dirasai bersama. Malah, staf di belakang tabir turut memainkan peranan besar dalam membantu kelab ini bangkit hingga ke tahap sekarang.
Pasukan Wanita Wrexham AFC Juga Tak Kurang Hebat
Bukan sahaja pasukan lelaki yang mencuri perhatian. Dalam musim ini, pasukan wanita Wrexham AFC juga menjadi fokus penting. Mereka kini bersaing sengit dalam Welsh Adran Premier League, liga utama wanita di Wales. Dengan kemasukan pemain baharu dan sokongan yang berterusan dari kelab serta penyokong, pasukan wanita ini turut mengimpikan untuk mencipta nama dan menjadi antara pasukan terbaik dalam liga.
Humphrey Ker Dan Misi Marathon Yang Tak Disangka
Sebagai selingan menarik dan menyuntik elemen humor, penonton juga akan melihat perjalanan Humphrey Ker, Pengarah Eksekutif Wrexham AFC, yang sedang berlatih untuk menyertai maraton demi tujuan amal.Persoalannya: mampukah beliau mengharungi 26.2 batu tanpa cedera, tanpa ‘chaffing’, dan tanpa jadi bahan gelak staf serta pemain kelabnya sendiri?
Akses Eksklusif Di Sebalik Tabir Dan Aksi Mendebarkan
Musim terbaru ini menjanjikan akses eksklusif yang lebih dekat berbanding musim-musim sebelumnya. Kamera akan membawa penonton masuk ke bilik persalinan, sisi padang, dan ke dalam detik-detik paling penting dalam beberapa perlawanan terbesar yang pernah disertai oleh Wrexham AFC. Kalau anda penggemar bola sepak atau sukakan cerita inspirasi tentang usaha, perjuangan dan semangat juang, inilah docuseri yang wajib anda tonton.
Barisan Produksi Hebat Di Sebalik Tabir
Musim keempat ini diterbitkan oleh gabungan tenaga kreatif yang luar biasa termasuk Rob McElhenney, Ryan Reynolds, Josh Drisko, Bryan Rowland, Jeff Luini, Humphrey Ker, Nick Frenkel, George Dewey serta pasukan hebat dari Boardwalk Pictures: Andrew Fried, Dane Lillegard, Sarina Roma dan Andy Thomas. Produksi dilakukan oleh More Better Productions, Maximum Effort Productions, 3 Arts Entertainment dan Boardwalk Pictures.
Apa Kata Budiey?
Pada pandangan Budiey, Welcome to Wrexham bukan sekadar dokumentari sukan biasa. Ia adalah kisah perjuangan, harapan dan semangat komuniti yang tidak pernah padam. Ia menunjukkan bagaimana bola sepak boleh menyatukan masyarakat, memberi inspirasi dan mengubah hidup – bukan sahaja kepada pemain, tetapi juga kepada peminat, staf dan seluruh bandar.
Musim keempat ini dijangka lebih dramatik, lebih emosional dan lebih realistik. Budiey cadangkan kepada semua peminat dokumentari dan bola sepak untuk tidak melepaskan peluang menonton siri ini mulai 29 Mei nanti di Disney+ Hotstar. Pastikan anda langgan platform ini dan bersedia untuk menyaksikan satu lagi babak bersejarah dalam perjalanan kelab yang kini semakin hampir ke liga utama England.
Jangan lupa untuk sokong Wrexham – kerana kisah mereka adalah kisah kita semua: berjuang tanpa henti untuk capai impian.