Isteri Ezad Lazim, Zeana Ramli terpaksa meminta bantuan polis dan pembantu perubatan ke rumah untuk mengusung suaminya ke Hospital Putrajaya berikutan khuatir melihat keadaannya muntah tidak berhenti dan mendapat serangan panik.
Namun, tidak sampai 24 jam dimasukkan ke hospital selepas diserang penyakit gastrik kronik, penyanyi Demi Cinta dan Jarak Waktu itu berkeras mahu pulang ke rumahnya di Sepang, Selangor.
Zeana berkata, dia terpaksa berunding dengan doktor bagi memenuhi permintaan suaminya yang tidak mahu terus tinggal di hospital.
“Ezad memang fobia masuk hospital, sejak dahulu lagi. Bayangkan, saya terpaksa meminta bantuan polis dan pembantu perubatan datang ke rumah untuk membawanya ke hospital, jam 11 malam pada Ahad lalu.
“Saya sangat bimbang melihat keadaan suami muntah tidak berhenti selepas makan durian dengan perut kosong. Lebih teruk, suami juga mendapat serangan panik.
“Bagaimanapun, doktor terpaksa melepaskan suami pulang ke rumah. Namun, jika sebarang kejadian berlaku ia di bawah tanggungan sendiri. Saya juga khuatir apabila dibiarkan lama di hospital dengan jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi,”
Hingga kini, Zeana memaklumkan keadaan suaminya masih lemah, tetapi dalam keadaan terkawal.
“Saya nak lihat perkembangan keadaan kesihatannya beberapa hari ini. Setakat ini, suami lebih banyak tidur dan berehat sahaja. Saya ikut saranan doktor untuk mengurangkan kesakitan.
“Ikutkan serangan gastrik kronik itu sudah beberapa kali terjadi kepadanya sejak 2016. Malah, suami ada penyakit kencing manis,” katanya.
Zeana berkata, suami sepatutnya mendapatkan suntikan vaksin dos kedua di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin lalu.
“Namun, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, jadi pengambilan suntikan vaksin terpaksa ditunda pada tarikh lain,” katanya.
*Sumber: BH Online