Pada 19 Julai yang lulu, hari bersejarah dalam kalendar Islam iaitu Awal Muharram menjelma lagi. Budiey telah menghadiri satu acara bual bicara yang berdiskusi tentang sambutan Muharram dengan tajuk yang menjurus tentang Hijrah dan Cinta.
Penganjur acara ini iaitu Munawwareen, jenama fesyen Islamik terkemuka, begitu iltizam menebarkan dakwah melalui program Tausiyah 1 Muharram. Kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan semangat hijrah yang membara, memuliakan momen yang istimewa bersama para muslimat yang hadir.
Menurut kata-kata Datin Hajah Aliza Abu Bakar, pengasas jenama Munawwareen, program yang diadakan ini merupakan simbolik perjalanan hijrah ke arah yang lebih cemerlang, terutamanya untuk kaum wanita yang berperanan sebagai tiang utama dalam sesebuah keluarga.
“Kami menjemput para asatizah sebagai barisan panel dan saya mahu menyantuni muslimat kerana mereka merupakan tulang belakang bagi setiap keluarga.
“Untuk membentuk ummah, kita perlu bermula daripada rumahtangga. Bila rumahtangga tidak dikelolakan dengan baik, akan terdapat banyak kepincangan dalam masyarakat.
“Saya terpanggil untuk menyantuni semua muslimat termasuklah diri saya untuk kita berubah ke arah kebaikan, untuk kita dapatkan lebih banyak ilmu. Saya sendiri mahu perbaiki banyak kekurangan dalam diri,â€
– Datin Hajah Aliza Abu Bakar
Program Awal Muharram ini juga salah satu inisiatif memperkenalkan kolaborasi strategik Munawwareen bersama Pertubuhan Kebajikan Projek Kengkawan untuk membawa Jemaah OKU Penglihatan dan OKU Pendengaran menunaikan umrah pada Oktober 2023.
Projek Langkah Kerdil Menuju Baitullah 2.0 ini juga bertujuan merealisasikan impian hampir 40 orang ahli pertubuhan mengerjakan haji buat pertama kali.
Terdahulu, jenama fesyen Islamik, Munawwareen mengimarahkan sambutan Awal Muharram dengan program Tausiyah 1 Muharram “Hijrah, Melangkah Dengan Cinta†bertemakan Raudah Jiwa yang julung kalinya diadakan dengan Kerjasama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.
Antara panel jemputan terdiri daripada Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati, Ustazah Nony dan juga panel istimewa, Masitah Mohd Afandy dan Irma Hasmie.
Pembuka tahun 1445H, program ini mengangkat topik hijrah yang dilalui dan bagaimana konsep hijrah itu diterapkan dalam kehidupan yang semakin mencabar juga menyuntik azam baru dan semangat yang kuat untuk laluan tahun baharu Islam.