Lafaz cerai dilakukan malam Jumaat lalu di kawasan perumahan di Puchong dan bersaksikan wakil daripada dua pihak,” kata bekas suami kepada pelakon Nadia Brian, 31, iaitu Muizz Nasruddin, 30, yang mengakui sudah melafazkan cerai di luar mahkamah.
Muizz berkata, selepas memfailkan perceraian terhadap pelakon terbabit pada Oktober tahun lalu, kini mereka berpisah secara sah.
“Disebabkan mahkamah lambat menetapkan tarikh perbicaraan, saya membuat keputusan untuk melafazkan cerai di luar mahkamah. Dengan cara ini kami dapat ‘move on’ dengan kehidupan kami,” katanya.
Terdahulu Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengesahkan dia dan Muizz sah bercerai talak satu, Jumaat lalu.
Menurut pelakon itu, perceraian terbabit dilakukan di luar mahkamah seperti yang diminta Muizz. Sebelum ini, Muizz turut memuat naik status di Instagram seakan-akan memberi bayangan mengenai status rumah tangga mereka dengan mengatakan dia ingin memulakan kehidupan baharu.
Muizz berharap tiada pihak cuba mengaitkan dirinya dengan Nadia serta mendoakan supaya bekas isterinya bertemu kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Selepas ini saya harap jangan kaitkan saya bersama dia lagi. Saya doakan yang terbaik buat Nadia dan semoga dia dapat kebahagiaan yang dicarinya,” katanya.
Terdahulu, isu pergolakan rumah tangga pasangan ini hangat diperkatakan sejak Oktober lalu dan lebih mencetuskan tanda tanya apabila Muizz turut mendakwa Nadia curang terhadapnya.
Bagaimanapun pelakon drama Titian Takdir itu menafikan semua tuduhan terhadapnya sebelum ini, malah menyifatkan ia sebagai fitnah semata-mata.
Nadia mendirikan rumah tangga dengan Muizz pada 9 November 2019 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
‘Sila Padam.. Pulangkan 19 Kotak’ – Pesanan Nadia Brian Kepada Bekas Suami
Kuala Lumpur: Pelakon, Nadia Brian meminta semua pihak tidak menggunakan atau mencantumkan gambar dia bersama bekas suami, Muizz Nasruddin dalam apa saja artikel mahupun siaran.
Nadia ketika dihubungi juga meminta supaya Muizz memadam semua gambarnya yang ada dalam simpanan termasuklah di mana-mana platform media sosial.
“Saya mohon kepada semua pihak supaya tidak menggunakan gambar saya bersama bekas suami, tidak kiralah gambar bersama dalam satu foto atau gambar yang dicantumkan. Saya tak mahu ada apa-apa kaitan dengannya lagi.
“Saya juga minta Muizz supaya memadam gambar-gambar yang ada kaitan dengan saya tidak kiralah sama ada dalam simpanannya atau di platform media sosial,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut pelakon filem Ratu Kala Jengking ini, selain gambar ada beberapa barangnya yang masih disimpan Muizz.
“Ada 19 kotak mengandungi barangan yang saya beli sendiri, hadiah peminat, barangan daripada pereka fesyen dan tajaan milik saya masih ada dengannya. Saya harap dia dapat pulangkan barang-barang itu kerana kami sudah tak ada sebarang kaitan,” katanya.
Dikritik netizen kerana kerap berada di luar walaupun baru seminggu bercerai, Nadia menegaskan bahawa dia keluar untuk bekerja dan mencari rezeki bagi menyara kehidupannya bersama ibu serta neneknya. “Saya keluar bekerja. Memanglah di Instagram nampak macam saya sendiri tapi itu semua adalah atas urusan kerja. Saya tahu ada netizen kritik dan saya berterima kasih kepada yang faham dengan situasi saya,” katanya.
Nadia dan Muizz berkahwin pada 9 November 2019, namun, kebahagiaan mereka hanya berlangsung selama enam bulan.
“Saya bersyukur kerana episod hitam sudah berakhir. Walaupun hanya bertahan selama enam bulan, proses perceraian saja memakan masa hampir setahun,” katanya.
Terbaru, Nadia kini sedang menjalani penggambaran filem komedi berjudul Rumah Maduku Berhantu bersama Zizan Razak dan Rita Rudaini