Menerusi laporan Harian Metro, Dr Wan Salim berpendapat Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman seharusnya menyerah diri pada pihak berkuasa tempatan serta menjalani proses undang-udang bagi menikmati hidup yang normal.
Pintu Taubat Masih Terbuka Lulas
Jelas beliau, tiada manusia sempurna yang bebas daripada melakukan dosa selain Nabi bahkan Allah SWT mengetahui yang hambaNya adalah makhluk yang lemah dan sentiasa terdedah kepada dosa.
Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang ingin membersihkan diri dan kembali ke jalan yang diredai-Nya.
“Cuma bezanya, ada manusia yang cepat insaf, lantas kembali ke pangkal jalan selepas menyedari yang dirinya tersasar daripada syariat yang ditetapkan di dalam agama.
“Sebaliknya ada pula yang berdegil dan terus berlarutan di dalam dosa dan maksiat,”
– Dr Wan Salim
Sewajarnya Akur Yang Dilahirkan Sebagai Lelaki
Menurut Dr Wan Salim lagi, Sajat patutnya meninggalkan dunia khayalan dan kepura-puraannya dan akur dengan ketetapan Ilahi yang dia diciptakan sebagai seorang lelaki.
“Masalah jantina bukan pilihan kita tetapi ketetapan Sang Pencipta yang maha mengetahui dan bijaksana.
“Jadi setiap manusia hendaklah akur dan menerima apa yang ditetapkan Tuhan untuk diri masing-masing.
“Bertindak berlawanan dengan hukum syariat dan tabii hanya akan membinasakan diri sendiri,”
– Dr Wan Salim
Tidak Akan Berdepan Kesusahan Jika Serah Diri Dari Awal
Dari sudut pandangan berbeza pula, beliau menambah dia pasti tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak dan berdepan pelbagai kesukaran jika menyerahkan diri kepada pihak berkuasa sejak awal lagi.
Jelas Mufti itu lagi, ramai lagi lelaki di negara kita yang memilih untuk berwatak dan berlagak menjadi seorang wanita tapi tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh usahawan berkenaan.
“Pada pandangan saya golongan agamawan termasuk pihak berkuasa agama Islam tidak memandang hina kepadanya dan golongan sepertinya. Sebaliknya kita bersimpati dengan mereka ini dan cuba membantu membimbing serta menasihatkan mereka sebaik mungkin.
“Mungkin mereka sukar menerima nasihat kerana sudah terbiasa berada di jalan yang salah, namun inilah kewajipan kita untuk membantu sesama Islam”
– Dr Wan Salim
Jika dia menyerah diri kepada pihak berkuasa, dia hanya perlu membayar denda yang tidak seberapa dan mungkin perlu mengikuti kaunseling yang boleh memberi manfaat kepada dirinya untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan sebagai individu normal.
Sumber: Harian Metro