STESEN radio Sinar mencetuskan kemarahan warganet apabila memuat naik gambar grafik menunjukkan masjid dan dikaitkan dengan penularan wabak pandemik Covid-19 di akaun Facebook rasminya. Pengurus Kandungan Sinar, Rasidah Khasim mewakili stesen radio itu membuat permohonan maaf atas kesilapan yang berlaku.
“Dengan rasa rendah dirinya, kami di Sinar memohon maaf atas kesilapan dan keterlanjuran yang berlaku dalam Facebook semalam. Kami sedar, ia mengundang kemarahan banyak pihak,”
– Rasidah Khasim
Rasidah berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati dalam memastikan kandungan yang mengisi platform media sosial stesem itu pada masa akan datang, tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Dalam pada kita berjaga-jaga, ada juga benda yang terlepas pandang. Kami akui kesilapan itu dan akan pastikan, perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang,”
– Rasidah Khasim
Grafik yang dimuat naik itu diambil dari sumber Twitter dan menunjukkan sekumpulan umat Islam masuk ke dalam masjid, dan keluar dengan jangkitan Covid-19.
Dalam ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan Sinar itu sebagai tidak sensitif kepada umat Islam dan situasi krisis yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini.
Pihak Sinar juga memadam muat naik itu selepas menerima kecaman hebat daripada warganet.
Sumber: Harian Metro