in , ,

Muar Collectorspace Bawa Nafas Baru Kepada Scene Kreatif di Muar, Johor

Dibangunkan bukan sahaja dengan matlamat menjadikan ‘bandar pencen’ tersebut destinasi pertemuan golongan artistik serta inovatif, tetapi juga sebagai pusat perkongsian idea serta memberikan peluang berdaya usaha buat generasi muda

Setelah enam tahun menyimpan impian untuk mewujudkan sebuah ruang acara di luar Kuala Lumpur, Romaizie Mustapha akhirnya berjaya melancarkan Muar Collectorspace yang mula beroperasi pada bulan Julai tahun lepas. 

Terletak di Jalan Abdullah, sebuah lokasi strategik di tengah-tengah bandar Muar yang juga telah dinobatkan sebagai ‘Bandar Maharani Bandar Diraja’ pada tahun 2012, Muar Collectorspace adalah satu inisiatif Collectors Market (yang juga merupakan produk dalam bentuk acara hasil ilham Romaizie) untuk menghidupkan atau meremajakan pekan-pekan lama di Malaysia dengan fokus mengetengahkan seni, warisan serta budaya termasuk ‘pop culture’. 

MUAR KAFE 02

Setelah pencarian di bandar Seremban, Negeri Sembilan menemui jalan buntu, Romaizie mula mengalihkan perhatiannya kepada bandar Muar, yang juga merupakan tempat kelahiran isterinya. Di Muar, dia menemui sebuah unit di bangunan rumah kedai lama yang memenuhi segala kriteria ruang acara dan tatkala dunia dilanda pandemik, Romaizie memulakan proses pengambil alihan unit tersebut. Kerja-kerja pembaikan dimulakan sebaik sahaja kerajaan Malaysia membenarkan industri pembinaan beroperasi semula. Menurut Romaizie, “Struktur ini merupakan sebuah rumah kedai dua tingkat yang dibina pada tahun 1940, lebih kurang 83 tahun yang lalu. Tidak lama lagi, ia layak didaftarkan di dalam senarai Bangunan Warisan Malaysia di bawah Akta Warisan Negara 2005. Faktor itu sahaja sudah cukup untuk mendorong saya mengambil alih pengurusan bangunan ini dan menjadikannya sebagai pengkalan Muar Collectorspace”.

MUAR RUANG ACARA 03_FIKRI FADZIL

Jelas Romaizie lagi, selain gelaran ‘Bandar Maharani’, Muar juga dikenali sebagai ‘Bandar Pencen’ kerana majoriti demografi penduduknya lebih kepada anak jati Muar yang memilih untuk pulang bersara. Manakala anak-anak muda pula lebih selesa berhijrah ke bandar-bandar yang lebih besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan juga kota Singapura untuk bekerja. 

“Muar Collectorspace dibangunkan dengan idea menyediakan sebuah ruang acara yang interaktif dan boleh dimanfaatkan sebagai venue bagi anak-anak muda dan sesiapa sahaja untuk berkarya, berkongsi idea serta bakat justeru memberikan peluang untuk berniaga dan berdaya usaha. 

MUAR KAFE 01

Di tingkat pertama bangunan ini, saya jadikan sebuah kafe, bukan sahaja untuk pengunjung menikmati kopi bru istimewa dari pembekal tempatan, dan makanan lazat diinspirasikan dari Johor seperti mee rebus, laksa Johor dan beriani Johor; malah sebagai tempat yang selesa dan selamat untuk bertemu dan mengadakan mesyuarat dalam suasana santai. 

MUAR RUANG ACARA 01_FIKRI FADZIL

Tingkat kedua pula saya jadikan sebagai ruang acara. Setakat ini, kami pernah mengadakan persembahan akustik dan beberapa sesi perkongsian serta ceramah dari artis dan pereka tempatan. Saya amat berbangga kerana penulis lagu untuk filem hebat Imaginur, iaitu Fikri Fadzil yang juga dikenali sebagai Bayangan, adalah orang pertama yang mengutilasikan ruang acara di Muar Collectorspace dan ia mendapat sambutan hebat dari penduduk Muar. Saya juga merancang untuk menganjurkan sebuah festival seni pada bulan November tahun ini di Muar.”

MUAR ROMAIZIE

Kegigihan Romaizie dan pasukannya dalam memastikan agar Muar Collectorspace sentiasa proaktif dalam usaha membantu serta memberikan inspirasi kepada anak-anak muda di Muar dapat dilihat dari beberapa aspek. Di antara inisiatif yang telahpun membuahkan hasil adalah latihan kemahiran baru seperti penyediaan makanan dan minuman terutamanya ‘coffee and latte art’ dan kelas sukan papan selaju (skate board) untuk kanak-kanak. Selain itu, Muar Collectorspace juga telah melancarkan inisiatif membina arkib bagi ratusan buku-buku terbitan tempatan yang telah dikumpul sebagai sumber bacaan percuma, termasuk juga pengumpulan piring hitam, kaset, cakera padat dan rujukan muzik tempatan dan dari rantau Asia Tenggara.

“Saya harap, dengan wujudnya Muar Collectorspace, ia membuktikan bahawa jika diberikan peluang, bandar-bandar kecil di Malaysia juga mampu menyumbang kepada sektor sosio ekonomi negara selain berperanan mencungkil bakat-bakat baru dalam pelbagai bidang samada kreatif mahupun industri perniagaan.

MUAR SKATE1

Segala-galanya yang ada di sini adalah hasil titik peluh saya dan kerja keras pasukan saya untuk merealisasikan impian dan membantu membangunkan bandar Muar. Harapan saya agar pihak umum, bukan sahaja dari Johor malah serata Malaysia dapat singgah ke Muar Collectorspace dan memberikan sokongan kepada kami jika menghala ke selatan tanahair”, kata Romaizie menutup bicara.

Ikuti akaun media sosial Muar Collectorspace di @muarcollectorspace dan @collectorsmarket.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

HONOR Malaysia Lancar Dua Telefon Pintar Flagship pada 6 April 2023!

Rakan Fotografi Terbaik: Penderia IMX766V vivo V27 & Potret Cahaya Aura