in

MTV World Stage Live in Malaysia 2011

Datuk Bandar Shah Alam mengalu-alukan MTV World Stage Live in Malaysia 2011 ke i-City
Bandar teknologi nombor satu Malaysia akan menjadi tuan rumah konsert muzik bertaraf antarabangsa.

i-City, juga dikenali sebagai ‘Bandar Cahaya Digital’, bersama Datuk Bandar Shah Alam, Yang Berbahagia Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan, hari ini mengalu-alukan konsert MTV World Stage Live in Malaysia 2011 yang akan dilangsungkan pada 24 Julai 2011. i-City berbesar hati dengan peluang menjadi tuan rumah konsert bertaraf antarabangsa yang menggabungkan nama-nama artis tersohor dunia. Acara ini dijangka akan mempertingkatkan tarikan pelancong dan menjana pertumbuhan Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Yang Berbahagia Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, “Saya dengan berbesar hati, ingin mengalu-alukan MTV Asia Tenggara dan MTV’s World Stage Live in Malaysia 2011 ke i-City, Shah Alam, tahun ini. Saya yakin, kerjasama ini akan menaikkan imej i-City sebagai destinasi pelancongan dan dengan itu memberi manfat kepada bandar Shah Alam juga.”

Yang Berbahagia Datuk Bandar juga berkata MTV World Stage Live in Malaysia 2011 adalah sebuah acara bertaraf antarabangsa yang disegani dan pastinya akan meletakkan i-City serta Shah Alam di persada muzik antarabangsa.

”Kepercayaan yang diberikan MTV untuk mengendalikan acara ini menunjukkan pengiktirafan bandar ini sebagai tuan rumah terpilih di Malaysia yang dilengkapi kemudahan kelas pertama untuk acara antarabangsa bertemakan gaya hidup, teknologi dan hiburan,” tambah beliau.

“Bulan lepas sahaja, saya telah menyenaraikan isu-isu penting yang akan diberi perhatian khusus agar Shah Alam menjadi bandar pengetahuan dan impian antarabangsa. Saya percaya, dengan pembangunan taraf antarabangsa dan tempat rekreasi canggih seperti i-City, didatangi pula acara bertaraf dunia seperti MTV World Stage Live in Malaysia 2011, kita boleh mencapai wawasan ini dan menceriakan Shah Alam. Justeru, menjadikannya lebih menarik kepada belia tempatan dan antarabangsa.”

Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, dalam kenyataannya berkata, ”Kami amat berbesar hati menjadi tuan rumah MTV World Stage Live in Malaysia 2011 di i-City sebab ini sejajar dengan wawasan kami menyediakan ruang yang ceria untuk belia supaya komuniti di sini dapat menikmati acara bertaraf antarabangsa.

Kerjasama dengan MTV ini menekankan nilai jenama i-City dan MTV Networks secara amnya dan hasrat kami untuk menghulurkan mesej kepada belia hari ini dengan bertanggungjawab.” i-City juga akan mengendalikan beberapa aktiviti yang membawa kepada konsert terebut.

Bandar yang amat ceria ini bersedia menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu penggemar muzik dari seluruh pelusuk Asia dan dunia untuk dijamu satu hari penuh dengan hiburan tanpa henti. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/icity atau www.i-city.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ucapan Layar Baru Primeworks Studios

Dreamgirls The Musical