Penyanyi dan penulis lirik asal lagu, Aisyah Istri Rasulullah, Mr Bie tidak menyangka lirik yang diubah berdasarkan lagu dendangan kumpulan Projector Band itu tular dan dinyanyikan ramai artis. Mr Bie atau nama sebenar, Hasbi Muh Ali, 34, memberitahu, lirik lagu itu dihasilkan tiga tahun lalu atas tujuan dakwah.
“Idea untuk mengubah lirik asal lagu ini tercetus tiga tahun lalu ketika drama rantaian yang memaparkan kisah romantis pasangan kekasih popular.
“Judul lagu Projector Band iaitu Aisyah memberi inspirasi kepada saya untuk menulis kisah Aisyah Istri Rasulullah.
“Bagi saya, kisah percintaan Rasulullah SAW dan isteri Baginda boleh kita jadikan contoh,”
– Mr. Bie
Hasbi berkata, dia mengambil masa sehari menyiapkan lagu berkenaan sebelum dimuat naik di YouTube.
“Selepas dimuat naik, ramai suka lirik baharu yang dinyanyikan itu.
“Apabila lagu ini tiba-tiba menjadi tular dan dinyanyikan ramai artis popular di Malaysia dan Indonesia, saya sangat terkejut dan teruja,”
– Mr. Bie
Antara penyanyi yang mendendangkan semula lagu ini adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nissa Sabyan dan Farawahida.
Mengulas dakwaan lirik lagu itu dipertikaikan di Indonesia, Mr Bie yang juga guru agama di sebuah sekolah di Tawau, Sabah, berkata perkara itu timbul berikutan salah faham bahasa.
“Mereka mempersoalkan ayat putih kemerah-merahan yang saya gunakan ketika menggambarkan Aisyah.
“Perkara itu dibolehkan kerana saya hanya menggambarkan daripada segi perkataan. Hanya gambaran daripada segi visual sahaja yang tidak dibenarkan.
“Lagipun, sebelum saya menulis lirik ini, saya sudah merujuk kepada hadis dan riwayat yang sahih.
“Malah, saya turut bertanya kepada penulis lirik berpengalaman.
“Setakat ini, lagu ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk diputarkan,”
– Mr. Bie
Tambah Hasbi, berikutan populariti lagu Aisyah Istri Rasulullah, dia diberi peluang oleh Map Music untuk merakamkannya sebagai single sulung.
Lagu Aisyah Istri Rasulullah boleh didapati di semua pelantar digital sejak Jumaat lalu.
Sumber: BH Online