Pada 7 September 2024, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) di KLCC akan menjadi saksi kepada sebuah persembahan yang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada pencinta muzik tempatan. Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan bangganya mempersembahkan konsert bertemakan “Sounds of Borneo,” sebuah acara yang julung kali diadakan, menampilkan muzik dari Borneo dalam gaya orkestra.
Konsert ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen MPO dalam mengangkat muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi, tetapi juga menjadi platform untuk menonjolkan bakat-bakat anak seni dari Malaysia Timur. Dengan tema “Sounds of Borneo,”
Konsert ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba, menjadikan ia satu acara yang cukup bermakna untuk kita semua.
MPO akan dipimpin oleh Luqman Aziz, seorang konduktor bersekutu yang juga pengarah muzik dan penggubah terkenal dari Orkestra RTM. Menariknya, konsert ini turut menampilkan buat pertama kali di pentas DFP, artis-artis berbakat dari Malaysia Timur seperti Marsha Milan dan Velvet Aduk dari Sabah, serta pemain sape terkenal, Alena Murang dari Sarawak.
Bintang-Bintang dari Malaysia Timur
Marsha Milan, seorang vokalis berketurunan Kadazan-Dusun, telah berkecimpung dalam industri muzik selama 15 tahun. Namanya semakin dikenali selepas menjadi finalis di Anugerah Juara Lagu pada tahun 2022 dan 2023. Velvet Aduk pula adalah penyokong tegar muzik tradisional Sabah, dan lagu-lagu ciptaannya seperti “Sumandak Sabah” dan “Oi Gaman” telah meraih jutaan tontonan di YouTube. Alena Murang, yang mula dikenali di peringkat antarabangsa, terkenal dengan muzik video dan filem etnik yang memenangi pelbagai anugerah.
Lagu-Lagu Menyentuh Jiwa
Pada malam yang penuh sinergi ini, MPO bersama artis-artis hebat ini akan mempersembahkan pelbagai lagu yang kaya dengan budaya Borneo. Antara lagu-lagu yang bakal diperdengarkan termasuk “Gitu’an,” “Pemung Jae,” “Sumandak Sabah,” “Insan Tadau,” “Panaon,” “Aramaitii,” “Bejugit Betanda Menari,” dan lagu-lagu rakyat seperti “Meno,” “Midang Midang,” “Jambatan Tamparuli,” “Put Burui,” “Datun Julud,” serta “Puteri Santubong.”
Komitmen MPO terhadap Seni Tempatan
MPO tidak pernah lelah dalam usaha mereka untuk menyajikan pelbagai persembahan muzik yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Setiap persembahan adalah hasil daripada dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk bakat seni tempatan dan menyebarkan keindahan muzik. Sokongan daripada penonton setia telah menjadi sumber inspirasi dan motivasi MPO, dan mereka mengalu-alukan sumbangan yang boleh diberikan melalui laman web mereka di mpo.com.my/donate. Segala sumbangan akan digunakan untuk terus menyokong bakat seni tempatan dan menyajikan pelbagai pilihan muzik yang menarik kepada penonton di seluruh negara.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan malam yang penuh magis ini di Dewan Filharmonik PETRONAS. Mari kita raikan kepelbagaian budaya dan keindahan muzik Borneo bersama MPO!