KEMAJUAN teknologi membawa bersama segala nikmat dan azabnya. Kehidupan dipermudah tetapi dunia menjadi semakin laju dan sempit, menekan hidup manusia pada tahap yang tak pernah disaksikan sepanjang zaman.
Itu antara kandungan lagu terbaharu kugiran rock alternatif dari Lembah Kelang, motherwit. Terbitan tunggal bertajuk TATAL itu meneroka sikap pengguna media sosial dan telefon pintar yang terperangkap dalam kitaran kebencian.
Menurut vokalis dan gitaris, Sahaq Ibrahim, lagu tersebut dihasilkan melalui pemerhatiannya terhadap sikap diri sendiri ketika menatal telefon bimbit.
Kata Sahaq, TATAL menggunakan struktur yang ringkas tetapi rumit pada bahagian instrumen.
Ia dipersetujui gitaris, Noh Zulazfar yang melihat TATAL sebagai antara trek paling kompleks pernah dihasilkan motherwit.
“Lirik lagu ini hanya enam baris dan korusnya instrumental. Walaupun nampak ringkas, kami meletakkan banyak lapis trek untuk mendapatkan suasana kalut dan kacau-bilau, sama seperti ketika kita menatal media sosial yang penuh kekalutan.
“Cabaran terbesar dalam lagu ini adalah mendapatkan adunan yang terbaik dan seimbang. Ia memakan masa dan tenaga tetapi akhirnya kami berjaya mendapatkan adunan yang paling sesuai hasil sentuhan juruadun, Hazeeq Azhar,” jelasnya.
Bagi pemain bass, Abdullah Azhman atau Paklah, lagu ini turut mencabar kemahiran komposisi mereka memandangkan secara asasnya, TATAL dihasilkan dengan struktur lagu pop,
Katanya, motherwit cuba mencabar struktur pop yang lazim digunakan dengan menyuntik elemen rock dan alternatif dalam susunan TATAL.
“Kami ambil ciri-ciri pop seperti pengulangan dan lirik yang ringkas dan mudah difahami, tetapi tidak meninggalkan identiti rock alternatif motherwit.
“Penerbitan lagu tunggal ini boleh dianggap sebagai eksperimentasi di pihak kami dan kami bercadang untuk mencuba lebih banyak perkara baharu selepas ini,” katanya.
Video lirik TATAL akan dilancarkan di saluran Youtube motherwitnoise pada 14 Oktober 2023, pukul 1.00 petang.
Lagu ini akan turut dilancarkan di platform digital dalam masa terdekat.
TENTANG TATAL
Definisi tatal :
menatal (Komp) menggerakkan paparan teks (baris demi baris atau halaman demi halaman) pd skrin paparan ke atas atau ke bawah secara beransur-ansur; penatalan perbuatan atau proses menatal (bkn paparan teks pd skrin paparan) (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Scroll definition:
move displayed text or graphics on a screen in a particular direction in order to view different parts of them. (Oxford)
Senarai kredit:
Komposer: Sahaq Ibrahim
Penulis lirik: Sahaq Ibrahim
Rakaman vokal: Sahaq, Paklah, Noh
Rakaman gitar utama: Noh Zulazfar
Rakaman gitar kedua: Sahaq Ibrahim
Rakaman bass: Paklah
Program dram: Sahaq Ibrahim
Program synthesizer: Sahaq Ibrahim
Jurutera rakaman: Sahaq, Paklah, Noh
Adunan: Hazeeq Azhar
Kemasan: Hazeeq Azhar
Suntingan video lirik: Sahaq Ibrahim
Pelakon video lirik: Sahaq, Paklah, Noh
TENTANG MOTHERWIT
motherwit ialah Sahaq Ibrahim (vokal, gitar), Noh Zulazfar (gitar) dan Paklah (bass). Kugiran rock alternatif dari Lembah Kelang ini ditubuhkan pada 2020 oleh Sahaq Ibrahim sebagai projek solo sebelum disertai Noh pada Jun 2021 dan Paklah pada Januari 2022.
Muzik motherwit berjulat dari rock, alternatif, pop sehingga ke indie pop. Kepelbagaian latar belakang ketiga-tiga ahli menggalakkan kugiran ini mencuba pelbagai elemen dalam muzik mereka, terutamanya elemen synth, jazz dan pop. Pengaruhnya juga pelbagai, dari ikon indie rock tempatan sehingga jaguh alternatif dunia.
motherwit sudah menghasilkan dua EP, iaitu “archived demo” pada 2020 dan “anteseden” pada 2023 selain beberapa terbitan tunggal sepanjang penubuhannya.