10 tahun lalu, ketika berita kehilangan pesawat MH370 tersebar, ia menyentuh jiwa seluruh rakyat Malaysia. Ini termasuk Sahaq Ibrahim dan Sara Razz yang ketika itu banyak membuat persembahan di pentas-pentas kecil sebagai duo vokal dan gitar. Tragedi tersebut menginspirasi mereka untuk menulis lagu yang kini dikenali sebagai “Dan Bila”.
Sahaq dan Sara memulakan penulisan lagu yang terilham daripada tragedi tersebut. Lagu itu tersimpan sebagai demo yang dinamakan sebagai “370”, dipersembahkan dalam beberapa acara namun tidak pernah diterbitkan secara rasmi.
Kini selepas 10 tahun, lagu tersebut diberi susunan yang lebih segar dan dirakam secara profesional bersama kugiran yang diasaskan Sahaq, motherwit. Sara turut menyumbangkan suara dalam rakaman studio pertamanya ini.
Misteri Tak Terungkap, Doa dan Rintihan Rindu
Diberi tajuk “dan bila”, lagu ini membawa doa dan rintihan rindu mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH370. Menurut Sahaq, lagu tersebut disusun dan dirakam semula kerana apa yang disampaikan masih relevan sampai ke hari ini. Lirik lagu tersebut pekat dengan harapan dan harapan untuk keadilan terhadap mangsa MH370 tidak akan terpadam selagi tidak tercapai.
Sara juga merasakan hal yang sama. Ketika membaca berita kehilangan pesawat itu, beliau hanya mampu membayangkan penderitaan ahli keluarga mangsa.
Kapal Terbang Bernama Harapan
Kesukaran berhadapan misteri yang penuh hiba sebegitu disampaikan dalam video muzik “dan bila” yang menampilkan bakat cilik, Isa Ahmad selain anggota motherwit dan Sara sendiri. Watak Isa ditampilkan sebagai kanak-kanak sepi yang merindukan seseorang.
Rasa rindu yang mendalam sangat sukar diproses, diwakili lambakan kapal terbang kertas berwarna hitam yang selalu ada di sekeliling Isa. Namun, dalam lambakan warna hitam, Isa didatangi kapal terbang kertas putih yang mewakili harapan.
“Bagi kami, harapanlah yang menghidupkan rasa kita pada sesuatu yang tiada. Itu yang cuba disampaikan dalam video muzik ini,” kata Sahaq yang turut bertindak sebagai pengarah video muzik tersebut.
Bagi Sahaq, dirinya tidak akan dapat merasai walau secebis sengsara yang dialami ahli keluarga dan orang tersayang mangsa MH370, namun mereka cuba menyampaikan perasaan hiba yang dirasakan melalui bacaan dan tontonan tentang tragedi itu.
Pelancaran Video Muzik
Video muzik “dan bila” akan dilancarkan di saluran Youtube motherwitnoise pada pukul 9 malam, 22 Julai.
Maklumat Penting “dan bila”
- “dan bila” merupakan lagu tunggal kedua dari album sulung motherwit yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
- “dan bila” ialah lagu pertama yang dirakamkan secara profesional oleh Sara Razz.
- “dan bila” ditulis pada 2014 oleh Sahaq Ibrahim dan Sara Razz.
- “dan bila” merupakan lagu balada pertama dalam diskografi motherwit.
Kredit Lagu “dan bila”
- Penyanyi: motherwit menampilkan Sara Razz
- Komposer: Sahaq Ibrahim
- Penulis Lirik: Sahaq Ibrahim dan Sara Razz
- Penyusun: Sahaq Ibrahim, Noh Zulazfar dan Paklah Azhman
- Penerbit: Sahaq Ibrahim, Noh Zulazfar dan Paklah Azhman
- Jurutera rakaman vokal: Hazeeq Azhar (Ruang Mekar Production)
- Adunan: Alkamil Kamarludin
- Adunan Rapi: Alkamil Kamarludin
Kredit Video Muzik “dan bila”
- Bakat: Isa Ahmad, Sahaq Ibrahim, Noh Zulazfar, Paklah Azhman, Sara Razz
- Pengarah/Penyunting: Sahaq Ibrahim
- Jurukamera: Sahaq Ibrahim, Noh Zulazfar, Ku Syafiq
- Pereka Set: Noh Zulazfar, Paklah Azhman, Ku Syafiq
- Audio: Noh Zulazfar
- Logistik: Paklah Azhman
– TAMAT –
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
[Maklumat Kontak]
[Emel]
[No. Telefon]