in ,

MonoloQue Lancar Single Terbaru RINGGIT

Itulah antara bait lagu “RINGGIT” yang diilhamkan dari liku-liku kehidupan kota zaman sekarang. “RINGGIT” adalah sajian terbaru dari kumpulan ‘nu-santara’ Malaysia MonoloQue, yang sebelum ini tampil dengan lagu-lagu hit seperti “Kekanda Adinda” (bersama Atilia Haron), “Batu Belah Batu Konkrit” (bersama biduanita Azlina Aziz), “Tanah Airku Tanah Airmu Jua” (bersama Datuk Siti Nurhaliza) dan “Den.dam”.

“Nak cari-cari duit di celah batu konkrit~”

monoloque

Teraju utama kumpulan ini, LoQue, memang terkenal dengan permainan bahasa yang unik serta senikata yang penuh falsafah. Namun, untuk karya terbaru ini, beliau beralih arah kepada gaya yang lebih terang dan langsung, sesuai dengan tema lagu yang berkisar tentang sesuatu yang saban hari menjadi pokok perbualan dan rungutan rakyat Malaysia, terutamanya sejak kebelakangan ini.

“Duit boleh beli apa saja, duit boleh beli jiwa raga cinta, dan melihat itu dalam kehidupan seharian, ia memberi inspirasi pada saya untuk menulis lagu ini,” jelas LoQue. “Ya, duit tu memang perlu, tapi kita kena fikir juga: adakah kita mencari duit untuk hidup atau kita hidup untuk mencari duit?”

Pengembaraan Mencari Bunyi

Bila ditanya, apakah yang dicari jika duit bukanlah menjadi pokok pencarian LoQue dalam hidupnya, LoQue tersenyum senang seolah-olah topik ini memang dekat dengan hatinya. “Yang sentiasa saya cari ialah bunyi baru. Saya sentiasa laparkan bunyi yang tak pernah saya dengar. Itulah titik tolaknya gerakan Hikayat Halimunan Abad Ke-21 yang membawa kepada album Jejak Tanah. Walaupun saya berpuas hati dengan album tu, tapi bila tiba masanya, saya jadi resah dan tak senang duduk. Saya mesti mengembara lagi untuk mencari bunyi yang seterusnya. Boleh dikatakan saya ni Penagih Bunyi!” katanya sambil tertawa.

Menurutnya lagi, pengembaraan yang terbaru ini sudah hampir ke kemuncaknya dengan penghasilan album kedua dalam siri Hikayat Halimunan Abad Ke-21. “Insya Allah, album tu akan siap sebelum hujung tahun nanti. Proses pencarian bunyi baru tu memang mengambil masa yang lama, tapi saya yakin hasilnya nanti akan meluaskan lagi sempadan muzik tempatan.”

Pencarian bunyi baru yang diidami LoQue semestinya membawa kepada soalan yang seterusnya: adakah bunyi baru itu menghasilkan lagu-lagu yang dalam ertikata mudah sedap didengar, dan adakah radio akan menerima lagu-lagu ‘di luar kotak’ sebegitu? LoQue tidak menafikan pentingnya peranan radio dalam membentuk citarasa pendengar dan menegaskan yang radio seharusnya lebih adil dan demokratik terhadap semua jenis muzik.

“Radio menentukan muzik yang lepas ke luar sana untuk didengari khalayak, jadi pada saya radio tempatan patut memberi peluang kepada semua jenis muzik. Tapi masalahnya, mereka seolah-olah susah nak berganjak dari apa yang selamat dan selesa. Kalau selamanya begitu, muzik Malaysia susah berkembang sebab orang kita tak berpeluang meluaskan citarasa mereka dengan muzik yang lain daripada yang lain. Bayangkan, kalau radio di England dulu tak bagi peluang kepada The Beatles yang bunyinya pada waktu tu dianggap pelik, agaknya muzik rock mati terbenam pada zaman tu juga!” ujarnya bersungguh-sungguh.

“Kita mesti sentiasa ke depan. Kalau senang berpuas hati, kita takkan ke mana. Gelombang baru Bunyi Malaysia memerlukan rombakan dan kita kena mencipta semula, tiada kompromi. Saya benar-benar harap pemuzik-pemuzik Malaysia akan lebih yakin untuk meneroka lebih jauh dari susunan gitar, bass dan dram yang tipikal. Berani la sikit ambil risiko bunyi!” sambungnya lagi.

Barisan Baru

Kembalinya MonoloQue kali ini bukan saja dengan lagu, album dan bunyi baru, tetapi juga menampilkan barisan baru. Bagi Loko, yang selama lebih 20 tahun telah menjadi pemain dram setia di sisi LoQue, beliau memutuskan yang waktunya telah tiba untuk mengundur diri. Begitu juga dengan pemain keyboard Apex. Dengan itu tinggallah dua ruang yang besar dalam barisan MonoloQue, di samping LoQue, Ijoo dan Dax. Adakah kekosongan tersebut masih belum terisi, atau adakah MonoloQue sudah pun merisik pengganti?

“Ya, kami sudah pun merisik dan mendapat respon positif!” kata LoQue dengan tertawa. “Sudah sembilan bulan kami main bersama dan saya rasa mereka serasi dengan saya, Ijoo dan Dax – ada ‘kimia’ di situ! Kehadiran mereka juga telah memantapkan nadi rentak kami, dan sekaligus memberi semangat baru kepada MonoloQue.”

Jadi, siapakah mereka yang telah menambat hati MonoloQue ini? LoQue hanya tersenyum simpul. “Walaupun teruja, saya belum lagi ingin memperkenalkan mereka, kerana MonoloQue masih dalam proses peralihan, dan kami ingin memastikan ‘tindakbalas kimia’ antara kami mencapai tahap kematangan yang semulajadi sebelum kami memutuskan sesuatu secara rasmi, untuk mengelakkan sebarang komplikasi.”

Dengan barisan baru akan datang serta album baru yang akan muncul, apakah pula harapan LoQue terhadap “RINGGIT” sebagai ‘mukadimah’ atau pembuka bab baru dalam hikayat yang ditulisnya ini?

“Bagi kami, “Ringgit” merupakan lagu pop yang senang didengari dan punyai banyak ruang untuk bernafas, walau masih bersifat individu, tetapi tetap lantang. Lagu ini adalah tangan yang kami hulurkan buat pendengar-pendengar untuk turut sama dengan MonoloQue dalam pengembaraan muzik kami. Kami harap ianya disambut baik oleh semua.”

BUTIRAN LAGU “RINGGIT”

Persembahan : MonoloQue

Lagu/Senikata : LoQue

Pemuzik : LoQue – Vokal Utama/Piano
Ijoo ‘Gagak Hitam’ – Gitar
Dax – Bass Synth
Bakri – Dram
Syafiq – Gendang/’Percussions’/Alat Permainan
Mohd Faliq – Pembantu Teknologi

Penerbit : LoQue bersama Aiyad Sakti dan Hafiz Ahmad

Tempat Rakaman : Kilang Menjahit Bunyi, Tune Studio dan Gelampuri

Dirakam Oleh : Hafiz Ahmad, Aiyad Sakti, Aiman dan LoQue

Diadun Oleh : LoQue, dibantu oleh Greg Henderson

‘Mastering’ Oleh : Sterling Sound, New York City oleh Greg Calbi (Tame Impala, The Flaming Lips)

Dari Album : Hikayat Halimunan Abad Ke-21: Corak Ke-2 (bakal dijudulkan) terbitan Penerbitan Pancasona 2015

Sutradara Video Muzik : Kadir Chan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

5 Sebab Budiey Pilih Plan Insuran Zurich Flexilife Plus

Tonton Koleksi Star Wars Prequel Trilogy di Astro Best