Seniwati veteran yang popular melalui filem Pendekar Bujang Lapok, Momo Latif, 92, meninggal dunia di kediamannya petang tadi.
Momo Latif atau nama sebenarnya Momo Makarim meninggal dunia akibat darah tinggi, 5.50 petang di Woodlands, Singapura.
Memetik BHOnline, anaknya, Kamaliah Latif berkata, selepas dirawat di hospital, Rabu lalu, keadaan ibunya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pembuluh darah ke otaknya pecah.
“Selepas mendapat penjelasan doktor, kami adik-beradik sepakat membawa ibu pulang ke rumah.
“Saya bersyukur kerana pada saat akhir hayatnya, semua 10 anak dan cucu ada di sisi ibu,” katanya.
Momo akan disembahyangkan di Masjid Ahmad Ibrahim sebelum dikebumikan di Pusara Abadi, You Chu Kang, selepas solat Jumaat esok.
Seniwati veteran, Momo Latif atau nama sebenarnya, Momo Makarim, 92, meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi di rumahnya di Woodlands, Singapura, pada jam 5.50 petang ini.
Momo yang terkenal melalui filem Pendekar Bujang Lapok, menghembuskan nafas terakhir di sisi 10 anak dan cucunya. Anaknya, Kamaliah Latif ketika dihubungi BH Online di Singapura berkata, selepas dirawat di hospital, Rabu lalu, keadaan ibunya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pembuluh darah ke otaknya pecah.
“Selepas mendapat penjelasan doktor, kami adik-beradik sepakat membawa ibu pulang ke rumah. “Saya bersyukur kerana pada saat akhir hayatnya, semua 10 anak dan cucu ada di sisi ibu,” katanya sebak.
Momo akan disembahyangkan di Masjid Ahmad Ibrahim sebelum dikebumikan di Pusara Abadi, You Chu Kang, selepas solat Jumaat esok. Rabu lalu, Momo dikejarkan ke Hospital Khoo Tec Phuat di Yishun Central kerana rebah di rumahnya selepas mengerjakan solat Maghrib. Momo yang juga anak jati Singapura memulakan karier dalam bidang lakonan melalui filem Toping Saitan dan Hou Yao Wan & Hoi Ling pada tahun 1941.
Selain filem Pendekar Bujang Lapok, yang mana Momo melakonkan watak isteri kepada Pak Mustar dan juga ibu kepada Cikgu Ros, Momo turut berlakon bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut.
Momo juga berlakon bersama pengarah Mat Sentul dalam filem Mat Toyol, Mat Karung Guni dan Mat Tenggek. Selain berlakon, Momo juga terkenal sebagai penyanyi pada era 1930-an hingga 1970-an.
Ketika itu, lagu dendangan Momo sering diputarkan di radio Malaysia dan Singapura. Antara lagu nyanyian Momo adalah Tudung Periuk, Tak Jemu Menunggu, Jangan Main Mata dan dua lagu duet bersama P Ramlee iaitu Merpati Dua Sejoli serta Semenjak Berpisah.
Sumber: Berita Harian