Molek FM yang memfokuskan pendengar di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang telah mendapat sambutan tinggi dari pendengar di sana kerana keistimewaannya yang dilihat lebih dekat dengan pendengar yang berasal dari Pantai Timur. Selaras dengan kehendak dan keperluan semasa, Molek FM dengan bangganya memperkenalkan barisan penyampai baharu seperti yang dijanjikan.
Pertukaran dan pembaharuan ini adalah langkah strategik pihak Molek FM untuk terus relevan, meningkatkan kualiti dan pada masa yang sama untuk memberikan yang terbaik kepada pendengar.
Barisan penyampai baharu yang terpilih telah melalui proses teliti pemilihan dengan memberikan penekanan kepada kemahiran profesional, pengalaman yang luas dengan nilai dan identiti Molek FM. Setiap penyampai di Molek FM semestinya akan membawa elemen unik yang akan menyumbang kepada kualiti kandungan dalam penyiaran radio.
Pada 17 Disember 2023, Molek FM telah rasmi keudara dengan barisan penyampai baharu iaitu di segmen Molek Pagi setiap Ahad hingga Khamis bermula jam 6 hingga 10 Pagi, satu-satunya segmen di Molek FM yang menampilkan gandingan duo DJ Nazz dan Qila.
Qila yang baru berusia 24 tahun dan berasal dari Wakaf Bharu tidak melepaskan peluang tersebut kerana baginya, menjadi penyampai radio di Molek FM adalah salah satu impiannya. Selain penyampai radio baharu, Molek Pagi juga datang dengan feature baharu iaitu ‘Kerusi DJ Nazz’ dan ‘Qila Lapa’. Kerusi DJ Nazz yang sebelum ini hanya ada di YouTube Molek TV, kini memberi pengalaman yang berbeza kepada pendengar dimana Kerusi DJ Nazz dibawa secara on-air.
Pendengar boleh kongsikan cerita-cerita menarik yang dapat memberi inspirasi kepada pendengar lain. Selain itu, pendengar juga boleh kongsi apa yang mereka teringin untuk makan dan tempat makan yang sedap di Pantai Timur untuk segmen Qila Lapar.
Bukan itu sahaja, di Molek 10-3, Mek Yan akan setia menemani pendengar setiap hari Ahad hingga Khamis bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dengan feature baharu iaitu ‘Lagu Soho Di TikTok’ yang mana lagu-lagu viral di TikTok akan dimainkan. Manakala Molek Petang bersama Mat Dan akan ke udara dari 3 petang hingga 7 malam dan pada masa yang sama pendengar boleh kongsi content TikTok yang menarik bersama Mat Dan dalam ‘Jupe Kat TikTok’. Mat Dan juga akan kongsikan 1 lagu setiap hari dan kenapa lagu itu menjadi pilihannya. Untuk Molek Malam, seorang lagi wajah baharu di Molek FM iaitu Anna Aljuffrey akan membawakan feature ‘Molek Rindu’ dimana pendengar yang sedang dilamun cinta atau yang ingin meluahkan perasaan, Anna Aljuffrey akan menemani anda.
Pengarah Rangkaian Kumpulan (Molek FM, FLY FM dan Eight FM), Moots berkata “Semestinya ini adalah keputusan yang besar buat kami di Molek FM. Memilih penyampai radio bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi penyampai radio yang boleh berkomunikasi dalam dialek Pantai Timur. Mereka tidak hanya membawa kebolehan dalam bidang masing-masing, tetapi juga semangat dan komitmen untuk menjadikan Molek FM sebagai destinasi utama bagi kandungan Pantai Timur yang menarik minat pendengar. Kami di Molek FM sentiasa merancang strategi baharu agar tidak ketinggalan dan memberikan yang terbaik terutamanya kepada pendengar Molek FM yang setia dengan kami sejak awal. Bukan itu sahaja, pendekatan yang kami datangkan ini adalah salah satu inisiatif untuk lebih dekat dengan pendengar terutamanya di Pantai Timur.â€