Antara yang popular ialah Tanggal 31 Ogos, Warisan, Keranamu Malaysia dan banyak lagi yang mengisi deretan senarai lagu patriotik. Menyertainya adalah lagu terbaru berjudul Malaysia Negaraku yang menampilkan bakat muda tanahair.
Dipersembahkan oleh artis generasi baru, lagu itu menggambarkan kepelbagaian bukan sahaja dalam liriknya tetapi dalam gaya persembahannya juga. Artis yang terlibat adalah penyanyi Fara Dolhani, penyanyi hip-hop Bobby D, penyanyi hip-hop Kungfu Heidi, penyanyi rap Syahjacker dan kumpulan muzik, Sayfire.
Tentunya ada formula tertentu yang membuatkan sesebuah lagu patriotik itu kekal di hati pendengar dan terus menerus menjadi pengisi Hari Malaysia setiap tahun.
Bagi produser lagu ini, Ratna K Nadarajan dari Mojo Projects, formula penghasilan sesuatu lagu patriotik itu adalah pada bahasa dan perkataan yang digunakan.
“Pertama sekali, kita cerita mengenai bahasa dan perkataan yang digunakan. Kadang-kadang ia adalah rangkuman perkataan yang mudah namun, penuh dengan nilai semangat.
“Contohnya, lagu Gemuruh yang dipopularkan Faizal Tahir. Liriknya ringkas dan mudah, tetapi kalau kita benar-benar amati, mesejnya dan jiwanya akan sampai kepada kita,”
– Ratna K Nadarajan
Bersama komposer tempatan MC Bullet, Ratna menerbit lagu patriotik Malaysia Negaraku ini yang fokus kepada perpaduan. MC Bullet bukan orang asing dalam industri muzik tanahair. Dia terlibat dalam adegan hiphop tempatan sebagai rapper, produser, jurutera muzik dan pemilik label muzik, Monsta Village Entertainment selama lebih dari 22 tahun.
“Kata-kata yang digunakan dalam lirik haruslah mudah disebut dan difahami supaya dapat menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum,” kata Bullet.
“Selain itu, kekuatan lagu patriotik juga terletak pada melodinya yang kuat dan senang ‘menangkap’ jiwa pendengar,” tambahnya.
– Ratna K Nadarajan
Menurutnya, setiap lagu patriotik yang dihasilkan haruslah meninggalkan impak yang kuat di hati masyarakat.
Video muzik untuk Malaysia Negaraku diarahkan oleh Ratna dan dihasilkan oleh Bullet. Sebuah produksi menarik yang menggunakan gambar vintage rakyat Malaysia untuk menghidupkan kembali semangat patriotisme, ia dihasilkan mengikut SOP.
Apa yang pasti, lagu ini, bersama lagu-lagu partriotik yang lain akan terus kekal berkumandang setiap tahun bagi mengisi ruang untuk kita semua meraikan Hari Malaysia.
Untuk menikmati lagu Malaysia Negaraku, KLIK SINI!