Selepas beberapa kali menepis dakwaan mengenai perkahwinannya, penyanyi MK daripada kumpulan K-Clique akhirnya sah bergelar suami kepada gadis pilihan hati, Siti Hajaar Syeikh Nordin yang berusia 26 tahun.
MK selamat disatukan dengan Siti Hajaar di satu majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang pada jam 9.35 pagi tadi.
MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27 tahun dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Sri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.
Pada majlis itu, MK memberikan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.
Penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah ini turut menyerahkan enam dulang hantaran berbalas enam dulang daripada pengantin perempuan.
MK ketika ditemui sangat teruja dan bersyukur majlis pernikahannya lancar.
Majlis pernikahan MK dan Siti Hajaar dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.
Pasangan ini dilihat sedondon berpakaian serba putih. Siti Hajar pula dilihat berseri-seri duduk di pelamin di samping ibu bercinta.
Pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di sebuah hotel di Klang, Selangor pada hari Sabtu ini.
Spekulasi MK bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan selepas dia memuat naik foto saiz pasport lengkap memakai songkok dalam media sosial.
Di ruangan komen perkongsian, para peminat mengucapkan tahniah kepada pasangan merpati dua sejoli ini dan mendoakan semoga rumah tangga yang dibina kekal ke akhir hayat.
Netizen juga sempat memuji kecantikan suri hati MK yang dilihat sangat ringkas dan lemah lembut. Patutlah MK jatuh hati kan?
Mengukuhkan lagi spekulasi itu, ada yang mendakwa MK sudah bertunang dengan Siti Hajaar selepas foto mereka berpakaian sedondon bersama keluarga dengan gadis itu menunjukkan cincin di jari, tersebar.
Pada Mei lalu, MK mencuri perhatian apabila tular video yang menyaksikan dirinya memimpin tangan seorang wanita dalam sebuah majlis.
Terbaharu, tular video di aplikasi TikTok yang menampakkan penyanyi rap itu menghadiri kursus kahwin.
Selain anggota K-Clique, penyanyi Zizi Kirana dan suaminya juga pelakon Yusuf Bahrin antara rakan artis yang turut hadir menyaksikan hari bahagia pasangan sejoli terbabit.