Kerjaya solonya bermula pada tahun 2012 dengan kehadiran album sulungnya, Di Suatu Masa. Lagu yang menjadi taruhan dalam album tersebut ialah Kini (feat Masrie), Hakikat Cinta,dan Di Suatu Masa. Kemunculan album sulung tersebut walau bagaimanapun kurang disedari peminat nasyid. Malah, album yang bersifat ‘indie’ tersebut belum cukup kuat untuk ditabalkan sebagai album berkualiti penuh.
Pada tahun 2015, Mizie Kamis tampil dengan album keduanya, Kini ’15. Kali ini, Mizie Kamis dilihat lebih bersedia. Kualiti muzik dan rakaman makin bagus, malah beberapa buah lagu dari album sulungnya turut dirakam semula dengan audio yang lebih berkualiti.
Lagu yang mendapat perhatian menerusi album Kini ’15 ialah Kalimah Berjasa. Nama Mizie Kamis kian dikenali di sekitar Kedah terutamanya.
Setelah hampir lima tahun, akhirnya Mizie Kamis tampil berani untuk komersialkan lagi karya seninya.
Ada Kamu, merupakan karya seni terbaru daripada pendidik yang kini berkhidmat di negeri Sabah. Lagu ini merupakan karya sepenuhnya daripada Mizie sendiri yang turut menggunakan nama pena, Udhya.
Ada Kamu bersinopsiskan tentang kisah pengorbanan wanita bergelar isteri yang telah berjasa dalam sesebuah rumah tangga.
“Lagu ini secara khususnya saya tujukan buat isteri saya. Secara umumnya, (saya tujukan) kepada semua isteri yang banyak berjasa kepada suami dan keluarga,” ujar Mizie ketika pra-pelancaran Ada Kamu menerusi saluran Inteam Digital.
Menceritakan tentang Ada Kamu, Mizie menyatakan proses untuk menghasilkan single ini memakan masa yang agak lama.
“Nak release single ini ambil masa hampir setahun. Ada Kamu tunggu masa yang sesuai untuk diterbitkan,” ujar Mizie lagi.
Bagi komersialkan Ada Kamu, Mizie Kamis menerusi syarikatnya, MK Production, telah bekerjasama bersama Inteam Digital yang bertindak sebagai pengedar digital.
Ada Kamu telah diterbitkan pada 26 Februari 2021 menerusi saluran Youtube Inteam Digital. Ada Kamu turut diterbitkan di platform digital Spotify, KKBOx, Joox, Deezer dan iTunes.
*Sumber: TheQarya