MIZI SPORTS CENTRE, ANTARA PENAJA UTAMA YANG MENJAYAKAN MISI JELAJAHAN FILEM RATU THE MOVIE KE SELURUH MALAYSIA.
Ibarat aur dan tebing atau lautan dan pantai yang tidak dapat dipisahkan, begitu jugalah pentingnya kerjasama di antara pihak penerbitan filem dan pihak penaja dalam industri perfileman Malaysia.
Seperti bekerja di dalam satu pasukan, kedua-dua belah pihak menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan kesempurnaan dalam setiap perkara. Mizi Sports Centre adalah merupakan salah satu penaja utama yang telah sudi memberikan penajaan pada misi jelajahan filem terbitan Wayang Studio International (WSI) dengan kerjasama Line Clear Motion Pictures iaitu Ratu The Movie ke seluruh pelusuk Malaysia.
Bukan satu lagi nama asing di Malaysia, Mizi Sport Centre yang sepenuhnya milik bumiputera ini menawarkan konsep barangan keperluan sukan yang original dan berteknologi tinggi dari kepelbagaian jenama antarabangsa seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto, Line 7 dan Kappa dengan harga yang amat berpatutan.
Selain itu ia juga menyediakan kelengkapan menyeluruh untuk semua jenis sukan serta pakaian kasual, peralatan sukan dan aksesori seperti t-shirt, kasut, beg, bola, seluar, stoking dan lain-lain untuk lelaki dan wanita. Dengan empat cawangan yang sedia ada di Selangor dan Negeri Sembilan, Mizi Sports Centre dalam perancangan menambah lagi tujuh cawangan baru memandangkan permintaan yang tinggi terhadap produk keluaran mereka.
Meletakan kepercayaan terhadap filem Ratu The Movie ini, Mizi Sport Centre telah sebulat hati bersetuju untuk turut sama menyertai misi jelajahan filem Ratu The Movie dengan penyediaan pakaian-pakaian eksklusif untuk para pelakon yang terlibat sama dalam misi jelajahan ini dan juga sumbangan hadiah dan cenderahati istimewa kepada orang ramai yang menyertai kuiz dan permainan yang diadakan sepanjang berlangsungnya misi jelajahan.
Misi jelajahan Filem Ratu The Movie telah pun bermula pada 7 Januari yang lepas di City Square dan Pelangi Leisure Mall diikuti pada 8 Januari di Carrefour dan Square One Shopping Mall di Batu Pahat.
Minggu seterusnya, 15 Januari, jelajahan mengambil langkah ke Kulim Landmark Central dan Tesco Extra Seberang Jaya dan bergerak pula ke Carrefour Seberang Jaya dan Giant Prima Prai pada 16 Januari.
Selain dapat beramah mesra dengan para pelakon filem ini, aktiviti-aktiviti yang turut dijalankan ketika misi jelajahan tersebut ialah persembahan tarian oleh para pelakon (dilatih oleh kareografer profesional), permainan bersama para pelakon seperti ‘catwalk’ dan ‘mari menari’ serta kuiz bagi memenangi tiket menonton ‘Ratu the Movie’ dan cenderahati dari para penaja. Penyanyi Damian Mikhail (bekas kumpulan VE) juga memeriahkan lagi misi jelajahan ini untuk beberapa lokasi terpilih dengan menyanyikan lagu tema filem Ratu the Movie yang bertajuk ‘Jelita’.
Melihat pada sambutan yang sungguh menggalakkan pada misi jelajahan yang lepas, ia akan diteruskan lagi di Melaka (Mahkota Parade, Melaka Mall dan Dataran Pahlawan) pada 29 Januari, di Seremban (Terminal One dan Seremban Parade) pada 30 Januari, di Jitra, Alor Setar, Sg. Petani, Taiping dan Ipoh pada 4, 5 dan 6 Februari. Selanjutnya di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur pada 12, 13, 19 dan 20 Februari. Tidak ketinggalan di Sabah dan Sarawak pada 25, 26 dan 27 Februari sebelum kembali ke Lembah Klang dan Putrajaya pada 5 Mac. Lokasi terakhir merupakan di Kuantan pada 6 Mac.
Tidak cukup dengan itu, misi jelajahan juga turut berkunjung ke pawagam-pawagam terpilih seluruh Malaysia untuk mengedarkan mini kalendar eksklusif filem Ratu The Movie yang diedarkan sendiri oleh para pelakon filem ini kepada yang bertuah.
Rangkaian promosi semakin rancak menuju pula ke kolej dan universiti terpilih untuk mengadakan wayang pacak atau tayangan amal bagi mendedahkan filem ini kepada golongan pelajar yang sememangnya menyukai filem realiti penggembaraan seperti Ratu The Movie ini.
Berhubung kerjasama di antara penerbitan filem Ratu The Movie ini dengan Mizi Sports Centre, walaupun tiada elemen sukan diselitkan menerusi filem ini sejajar dengan konsep Mizi Sports Centre, ianya tidak langsung mematahkan hasrat Mizi Sports Centre untuk terus menyokong misi jelajahan filem ini. Menurut produser filem Ratu The Movie, Encik A. Latiff Mohaideen, satu perkara yang memberi persamaan hala tuju mereka menerusi filem ini adalah golongan sasaran.
Kedua-duanya menyasarkan golongan remaja sebagai pasaran mereka. “Filem ini merupakan filem bercorakkan program realiti yang mana ianya sangat diminati oleh golongan muda. Para pelakon kita juga majoritinya terdiri daripada golongan muda.
Golongan muda juga sememangnya kita tahu gemarkan aktiviti bersukan. Jadi kita nampak persamaan seumpama itu untuk kita dan Mizi Sports Centre menjalinkan satu kerjasama erat yang akan dapat memberi kebaikan pada kedua-dua belah pihak.”
Filem Ratu The Movie yang bakal menjengah ke pawagam bermula 17 Mac 2011 ini memaparkan sebuah program realiti yang diberi nama ‘Pesona Ratu’. Mencari gadis-gadis berkelayakan untuk diiktiraf sebagai ratu, akhirnya seramai 10 peserta berlatar belakangkan profesion yang berlainan dipilih untuk ke peringkat akhir.
Mereka akan dibawa belayar ke satu tempat untuk penilaian seterusnya. Dua peserta terkeluar awal kerana gagal tiba ke lokasi perjumpaan seperti yang telah ditetapkan. Berlayarlah 8 peserta bersama tenaga kerja ‘Pesona Ratu’ ke lokasi rahsia. Setiap seorang peserta mempunyai misi masing-masing dalam merebut takhta ratu yang ditawarkan.
Walaubagaimanapun, kapal mereka tersadai di sebuah pulau terpencil. Ini memaksa mereka tinggal sementara di pulau tersebut sementara menanti kapal mereka diperbaiki. Bermulalah detik hitam yang melanda peserta-peserta yang memburu gelaran ratu ini. Kesukaran mengharungi hidup di pulau itu dengan ribut yang melanda, bekalan makanan yang semakin kehabisan dan kemunculan makhluk yang tidak diundang mula menampakkan sikap sebenar setiap seorang daripada mereka.
Seorang demi seorang mula hilang dan mereka semakin cemas mencari jalan keluar. Hanya yang bertahan mampu meneruskan hidup mereka di pulau itu.
Seramai 10 pelakon baru (Bkay Nair, Nur Eina, Elya, Arizan, Farah, Farahin, Sue, Shazlin, Jazzy, Tasha) diperkenalkan menerusi Ratu The Movie. Mereka ini dicungkil bakatnya menerusi ujibakat yang telah dilakukan oleh Line Clear Motion Pictures sebelum penggambaran filem ini dibuat. Mereka diuji sama seperti mana program realiti lain mencari peserta yang benar-benar layak.
Filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon terkenal seperti Eizlan Yusof, Fouziah Gous, Yasmin Hani selain penampilan khas Yusry KRU dan 2 pelakon muda yang semakin menjadi kegilaan remaja, Khairi Azlee dan Farid Wari.