in

This Is Mixology Music Volume One

DJ Fuzz atau nama sebenarnya Farzwa De Attaher Emir Bin Farit Emir merupakan anak jati kelahiran Kuala Lumpur. Membesar di ibukota Kuala Lumpur, DJ Fuzz memulakan kariernya sebagai DJ pada tahun 1999 ketika berusia 22 tahun, apabila dia mendaftarkan dirinya di Playaz Universe, iaitu sekolah DJ yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Setelah menamatkan pengajian, DJ Fuzz kekal sebagai tenaga pengajar untuk kursus lanjutan/professional yang ditawarkan di situ. Buat masa ini DJ Fuzz sibuk mengendalikan akademinya sendiri iaitu Mixology DJ Academy.

DJ Fuzz giat merencana kerjayanya dengan pembikinan muzik sepertimana beliau sering berkerjasama di dalam beberapa projek bersama sebilangan artis dan ini termasuk artis seperti Altimet, Mizznina, Salammusik, Awi Rafael, Blues Gang, Mas Idayu, Saleem, Zur Eda dan artis-artis luar yang lain dari Timur Tengah seperti Yeyo Tabaqueiro (USA/Puerto Rico), DJ Lethal Skillz (Lebanon), dan MC Moe (Lebanon).

This Is Mixology Music Volume One

Mixology Music tertubuh diatas usaha keras beliau dalam menjayakan dan menunaikan impiannya untuk mengembangkan bakat-bakat muda dalam arena Hip Hop dan R&B di Malaysia. Dengan tertubuhnya Mixology Music, nama-nama seperti WARIS, Karmal, Mark Adam dan juga Juzzthin mula menyinar dan lagu-lagu nyanyian mereka mula melengkapkan carta-carta di corong-corong radio tanah air. Mereka semua bernaung di bawah nama Mixology Music kendalian DJ Fuzz.

Lagu ‘Rembau Most Wanted’ yang dinyanyikan oleh WARIS amat diterima dikalangan peminat Hip Hop dan masyarakat tempatan. WARIS telah mengetengahkan muzik rap dengan menggunakan dialek Negeri Sembilan. Nama sebenar penyanyi yang menggelarkan dirinya sebagai WARIS ini adalah Muzammil Alias yang kini berusia 24 tahun. Dialek Negeri Sembilan dipilih hasil inspirasi daripada muzik lagu C.R.E.A.M nyanyian kumpulan rap barat iaitu Wu Tang Clan yang cuba mengetengahkan budaya masyarakatnya.

Selain itu, WARIS juga telah memulakan kerjaya seni sebagai rapper pada tahun 2012. Lagu ‘Rembau Most Wanted’ ini pada awalnya dinyanyikan dengan menggunakan muzik instrumental dan kemudian ia telah diberi nafas baharu sebelum dipersembahkan kepada peminat secara rasmi. Jangan risau lirik lagu yang dinyanyikan oleh WARIS mempunyai unsur yang positif. Orang Asia mestilah penuh dengan budi bahasa.

Mark Adam, pasti ramai yang sudah mengenali pemilik nama ini. Mark merupakan individu yang menyanyikan lagu ‘Pencuri’ yang telah mencuri hati para pendengar muzik di Malaysia. Jejaka kelahiran Filipina ini mula menempa nama di negaranya seawal zaman kanak-kanak lagi dan mula menyanyi pada usia lapan tahun. Ketika berusia 12 tahun, Mark telah membuktikan kebolehannya dengan memenangi pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan di negaranya. Sehingga kini, dia terus mengorak langkah dalam mewarnai perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi.

Mark yang sebelum ini banyak kali mencuba untuk menyertai rancangan realiti nyanyian di Malaysia, namun cita-citanya tidak kesampaian kerana beliau bukan warganegara Malaysia telah sedikit sebanyak menceritakan pengalaman Mark mengenai pembabitan awalnya dalam industri muzik di Malaysia. Mark juga berkhidmat sebagai seorang guru vokal di The Singing Shop, Petaling Jaya.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Karmal adalah satu lagi nama yang sedang meningkat naik sebagai rapper muda yang mempunyai karisma dan pembawakan yang tersendiri. Karmal juga sering menulis dan mencipta lagunya sendiri jika mempunyai masa lapang. Lagu hit beliau, ‘Parti Sampai Pagi’ (PSP) telah menjadi fenomena di kalangan anak muda di negara ini terutamanya di lapangan media sosial. Lagu tersebut telah melonjakkan nama Karmal di samping kini sibuk mempromosikan lagu terbaru beliau bersama Fidz berjudul ‘Ragam Manusia’. Selain sebagai seorang rapper, Karmal juga merupakan seorang Pereka Grafik.

Juzzthin atau nama sebenarnya Mohamad Nazreen Norzali mula menempah nama sebagai penyanyi selepas popular dengan lagu hasil kolaborasinya bersama WARIS dalam lagu ‘Botingkek’. Pasca ‘Botingkek’, Juzzthin terus mendapat perhatian menerusi kolaborasi terbarunya juga bersama Waris dan Mas Idayu menerusi ‘100% Cintaku’.

Namun tidak ramai yang tahu anak muda berusia berusia 23 tahun ini sudah terbabit dalam bidang lakonan sejak tahun 2010 menerusi sitkom “Waktu Rehat” di saluran Disney. Kini Juzzthin muncul pula dalam siri “Oh My English” di saluran Astro Ceria. Kerjaya seni Juzzthin kini tampak seiring diantara lakonan dan juga nyanyian.

‘This is Mixology Music Volume One’ merupakan hadiah kepada mereka yang selama ini menyokong dan menjadi tulang belakang bukan sahaja kepada DJ Fuzz namun kepada kelima-lima mereka ini. 16 lagu yang di muatkan di dalam album kompilasi ini adalah :

1. Rembau Most Wanted – WARIS
2. Pencuri – Mark Adam
3. Isi Puisi – Juzzthin ft. Nabil Zamanhuri & G
4. Parti Sampai Pagi (PSP) – Karmal
5. Botingkek – WARIS ft. Juzzthin
6. Sampai Nanti – Mark Adam
7. Off The Hook – Juzzthin ft. Mark Adam
8. Can’t See Me – Karmal ft. WanD
9. Satu Hari Di Rembau – WARIS ft. Karmal, Juzzthin, Adeep Nahar & Mark Adam
10. Mind Your Own Business – Mark Adam
11. Whoa – Karmal
12. Sunset Boulevard – Juzzthin
13. Most Wanted Scratch – DJ Fuzz
14. Drive – Juzzthin ft. AMPG
15. Salam Lebaran – Mark Adam ft. Eyza Bahra & WARIS
16. Ritma Merdeka – DJ Fuzz ft. Iwere, WARIS, Nawi, Juzzthin, WoShiJay Aathitiyanz & Stylomannavan

Album “THIS IS MIXOLOGY MUSIC VOLUME ONE” ini merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Hotel Best Western Petaling Jaya

Majlis Pelancaran Novel Adaptasi Filem LANGIT CINTA