Black berkata, Muhammad Adib pulang jam 3 pagi tadi dalam keadaan letih dan tidak bermaya, selepas lima hari hilang tanpa dapat dikesan.
“Sukar untuk saya jelaskan kerana dia tiba-tiba hilang selepas kali terakhir kami berbincang mengenai jadual persembahan, Jumaat lalu.
“Dia bagaimanapun, tidak datang bekerja pada Sabtu lalu dan kehilangan Muhammad Adib begitu misteri hingga saya serta keluarganya membuat keputusan untuk berkongsi mengenai perkara itu di laman sosial.
“Keluarga Muhammad Adib juga ada membuat laporan polis, semalam, namun sekitar jam 3 pagi tadi, saya dimaklumkan dia sudah pulang ke rumah dalam keadaan tidak bermaya,”
– Black Hanafiah
Penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu berkata, pembantunya itu sering menghabiskan masa di sebuah tasik berdekatan Sunway Kayangan, Shah Alam.
“Pada malam kehilangannya itu, Muhammad Adib ada ke sana untuk memancing. Apabila ditanya, dia seperti tidak tahu apa-apa.
“Dia hanya teringat sempat berbual dengan seorang lelaki yang turut memancing di kawasan itu,”
– Black Hanafiah
Menurut Black, pembantu peribadinya itu sudah berkhidmat dengannya sejak 2017 dan tidak mempunyai masalah disiplin.
Buat sementara waktu, Black memberikan ruang kepada Muhammad untuk berehat, selain mendapatkan rawatan tradisional bagi memulihkan semula semangatnya.
“Saya berterima kasih kepada polis dan orang awam yang banyak membantu mengesan kehilangan Muhammad Adib. Kami tinggal berdekatan, jadi saya dan keluarganya sudah saling mengenali,”
– – Black Hanafiah
Dalam pada itu, Black turut meluahkan kesal dengan sikap segelintir netizen yang menganggap perkongsian mengenai kehilangan Muhammad Adib di laman sosial sebagai bahan jenaka.
“Saya terpaksa menjelaskan berkali-kali kehilangan Muhammad Adib bukan gurauan. Kami bimbang keselamatannya, memandangkan sepanjang tempoh itu, dia tidak dapat dihubungi,”
– Black Hanafiah
Sumber: Berita Harian