in , ,

Misi Margosa Tawan Industri Muzik Arus Perdana, Pertaruhkan Lagu CINTA PASTI BERSATU

Mula ditubuhkan sekitar 2018, band Margosa yang dianggotai Resya Rahman selaku vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitar), dan Pjay (bass), kini dalam misi menakluk pasaran arus perdana muzik tempatan.

Aktif bergerak sebagai band indie sebelum ini, Margosa tampil dengan single pertaruhan baharu berjudul Cinta Pasti Bersatu untuk memikat pendengar seluruh Malaysia. Disuntik dengan mesej berat, Resya menyifatkan lagu itu tepat dengan situasi pandemik sekarang. 

“Lagu ini berkisar dua jiwa yang terpisah secara terpaksa. Lagu ini sebenarnya agak ‘easy listening’, mesra telinga, dan tidaklah berat sangat. Liriknya secara keseluruhan menceritakan perpisahan tidak diduga contohnya pasangan suami isteri pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Pjay. 

Menariknya, lagu berkenaan turut menampilkan vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza sebagai rakan duet. Sekali gus, ia menjadi lagu kolaborasi sulung buat Margosa yang mana menurut Raja Nazrin Shah satu percaturan terbaik gabungkan vokal wanita dan lelaki. 

“Tak susah sebenarnya nak serasikan gabungan vokal Aepul dan Reysha. Memang awalnya demo lagu ini lain berbanding hasil akhir sekarang. Dengan bantuan Afif, dia mencantikkan lagi serta asah sempurna nadanya supaya kedengaran lebih indah. 

“Bekerja dengan Aepul pula, dia seorang yang fleksibel, profesional, dan memberi input yang sangat membantu. Dia menjadikan hasilnya bertambah lebih baik sekali gus memudahkan lagi sebenarnya proses mencapai kesatuan vokal terbaik,” katanya. 

Menerusi karya ciptaan Raja Nazrin Shah ini, Margosa memilih untuk tampil dengan genre berentak balada. Bagaimanapun, mereka tidak meletakkan satu-satu genre terhadap hala tuju muzik mereka sebaliknya ingin dikenali dengan corak karya menyentuh emosi. 

“Lagu ini memang menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa di mana kami suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya kami. Tapi, kami bukannya sebuah band yang memperjuangkan genre sebagai hala tuju utama. 

“Cumanya disebabkan lagu ini lagu sedih, senang untuk kami menyalurkan mesejnya dalam melodi balada. Kalau dengar album terdahulu kami, lagu kami ada yang bukan berentak balada namun mesejnya masih mendalam sebagaimana lagu ini,” kata Resya. 

MARGOSA

Tambah Raja Nazrin Shah, mereka pun sebenarnya memang sentiasa pelbagaikan rentak lagu dihasilkan. Tunjang utama setiap lagu yang dihasilkan mereka adalah terus mengekalkan identiti Margosa itu sendiri. 

“Sebelum ini, kami memang banyak bermain pelbagai genre muzik. Bagaimanapun, pada masa akan datang, kami akan terokai emosi muzik yang lebih variasi. Sekarang ini, pendengar kami lebih sebati dengan muzik yang boleh cetuskan emosi sebegitu,” katanya. 

Berkongsi lanjut, menurutnya lagu ini sudah dicipta sejak 2010 dan awalnya dihasilkan untuk penyanyi wanita. Tapi, dia putuskan untuk peram lagu ini kerana yakin, semakin lama disimpan, suatu hari nanti akan tiba masanya ia mampu dicantikkan dengan lebih baik. 

“Saya rasa sekarang memang paling tepat dan kena pada waktunya untuk lagu ini dilancarkan. Susunan muzikal pada 2010 pun cukup berbeza dengan komposisi sekarang. Kami pun bekerja dengan penerbit-penerbit hebat seperti AG Coco, Afif, dan Aepul, magisnya menjadi,” katanya. 

Tambah Resya, persiapan lebih banyak tertumpu kepada memperkemas bahagian vokal. Dia turut hadiri tiga kelas vokal bersama Afif sebelum rakaman sebenar. Menurutnya, ia sebuah pengalaman baharu yang sangat membantu daripada segi penghayatan. 

“Meskipun saya sendiri yang menulis liriknya, tetapi cara Afif interpretasi lagu itu jauh lebih baik daripada interpretasi saya. Paling menarik, dia mengajar saya bagaimana untuk ekspresikan emosi tanpa kedengaran seperti cuma syok sendiri,” katanya. 

Pjay mengakui kerjasama sulung bersama penyanyi lain itu cukup membawa makna besar. Ia kelainan baharu yang Margosa bawakan, lebih dinamik dari segi laras vokal serta susunan muzik untuk perkenalkan mereka kepada pasaran arus perdana. 

Meskipun baharu menapak dalam arus perdana, Margosa sudah memiliki pencapaian cukup membanggakan termasuk menjuarai Anugerah Lagu Indie 2020 menerusi lagu berjudul ‘Penawar’. Mereka berjaya menewaskan 12 peserta lain dalam pertandingan itu. 

Pada tahun lalu, Margosa turut melancarkan album pengenalan berjudul The Phase. Band itu juga terpilih menjadi artis sokongan kepada siri jelajah kumpulan Tiny Moving Parts pada 2020 dan membuat persembahan di luar negara termasuk Singapura, Thailand, dan Vietnam. 

‘Cinta Pasti Bersatu’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. 

Kredit: 

Artis: Margosa feat. Aepul Roza Tajuk: Cinta Pasti Bersatu Producer: AG Coco
Komposer: Raja Nazrin Shah Penulis Lirik: Resya Rahman Vocal Producer: Afif Tirmizie 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Tayangan Perdana Drama DENDAM SEORANG ISTERI

Kolaborasi Nusantara Malaysia-Indonesia Temukan Kucaimars & Suara Kayu Dalam ‘Obat Rindu’